“Saya sudah memberikan khidmat terbaik, malah turut berbangga kerana selama menjadi KP Finas, ada beberapa filem mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman kita,” kata Datuk Fauzi Ayob, bekas Ketua Pengarah (KP) Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional).

Beliau kini memulakan tugas barunya sebagai Penasihat Industri Kreatif di Pusat Governans, Integriti dan Anti- Rasuah Nasional ( GIACC) bermula semalam.

Berperwatakan lembut tetapi tegas membuat keputusan, Fauzi mula dilantik menjadi menjadi KP Finas pada 1 Januari 2017 menggantikan Datuk Kamil Othman yang menamatkan kontrak pada November 2016.

Sebelum itu, Fauzi memegang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas.

Menariknya jika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dua kali, begitu juga dengan Fauzi menjadi KP Finas dua kali iaitu pada kali pertama pada November 2005 hingga Mei 2006.

“Ianya ketentuan Allah, dan secara kebetulan saya dengan Tun Mahathir, kami sama-sama orang Kedah,” kata Fauzi berseloroh.

Menurut Fauzi, jawatan barunya bermula semalam itu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), sekali gus dari tarikh itu beliau sudah mengosongkan pejabatnya di Finas, Hulu Klang berpindah ke Putrajaya.

“Semalam (15 Oktober) bermulalah tugas saya sebagai Penasihat Industri Kreatif Gred JUSA B.

Suai Kenal….Fauzi (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Dr Anis Yusal

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti- Rasuah Nasional ( GIACC), JPM dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menyumbang tenaga dan bakti bagi mengangkat integriti dan tadbir urus industri kreatif dalam membendung gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.

“Saya akan menjalankan amanah diberikan kepada saya dengan jujur dan penuh bertanggungjawab,” katanya.

Dedikasi Fauzi terhadap tugasan diperlihatkan pada hari pertama di tempat baru, beliau mengadakan sesi perbincangan ringkas dengan Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Dr. Anis Yusal berkaitan penambahbaikan dalam Tadbir Urus dalam Industri kreatif negara.