AirAsia meneruskan kemenangannya dengan meraih penghargaan tertinggi di World Travel Awards Asia dan Oceania 2019 bagi tahun ketujuh berturut-turut.

AirAsia mengatasi syarikat penerbangan lain seperti Scoot, Jetstar, SpiceJet, Nok Air dan Firefly sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan Kru Kabin Terbaik bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Asia.

Anugerah tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dalam majlis dihadiri oleh wakil-wakil industri dan tokoh utama dari rantau ini di Pusat Konvensyen Vinpearl di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, “Kami berbesar hati untuk menerima penghormatan ini. Pengiktirafan diberikan oleh para tetamu dan rakan industri sebagai yang terbaik di Asia adalah bukti usaha berterusan kami membangunkan produk dan perkhidmatan inovatif berteraskan keperluan para tetamu kami.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Allstars, terutamanya para kru kabin kami kerana kerja keras dan komitmen mereka untuk memberikan dan menyediakan pengalaman yang terbaik untuk tetamu-tetamu kami,” katanya.

Pengasas World Travel Awards Graham E Cooke berkata, “AirAsia terus menetapkan penanda aras bagi syarikat penerbangan tambang rendah di Asia dan di luar rantau ini. Dedikasi mereka untuk meningkatkan perkhidmatannya tidak dapat ditandingi dan saya berbesar hati kerana mereka telah diiktiraf oleh para pemain industri dan orang awam sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia 2019 dan Kru Kabin Terbaik bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Asia 2019.”

World Travel Awards merupakan salah satu anugerah yang paling berprestij, komprehensif dan diingini oleh industri global dan pelancongan.

Ditubuhkan pada 1993 untuk mengiktiraf, memberi ganjaran dan meraikan kecemerlangan dalam semua sektor industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti, jenama World Travel Awards kini diiktiraf di peringkat global sebagai anugerah utama bagi kecemerlangan industri.