Telekom Malaysia Berhad (TM), menerusi cabang penyelidikan dan anak syarikat milik penuhnya, TM Research & Development (TM R&D), baru-baru ini telah memenangi Kategori Pelanggan: Pemasaran / Pengiklanan Digital untuk inovasi Analitik Pengalaman Pelanggan (Analytics of Customer Experience – ACE) di Anugerah APICTA MSC Malaysia 2019.

Kemenangan anugerah berprestij ini meletakkan ACE sebagai produk atau penyelesaian peneraju dalam bidang Pemasaran / Pengiklanan Digital bagi tahun 2019.

Ketua Pegawai Maklumat, TM, M. Umapathy Sivan dan Ketua Pegawai Eksekutif, TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah hadir bagi menerima anugerah berkenaan.

Mengulas mengenai pencapaian yang dibanggakan ini, Dr. Sharlene berkata, “Ini merupakan saat yang membanggakan bagi kami di TM R&D dan Kumpulan TM.

Pengiktirafan menerusi anugerah ini memperkukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peneraju dalam bidang kajian, pembangunan dan inovasi. ACE, yang dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh TM R&D, menawarkan maklumat analitik penting kepada perniagaan fizikal (brick and mortar stores), justeru membolehkan mereka beralih kepada digital, kerana platform ini menawarkan para peniaga dengan maklumat analitik peruncitan, pergerakan pelanggan dan jangkaan tingkah laku mereka.

Apabila maklumat ini boleh didapati dengan mudah, perkhidmatan yang khusus boleh ditawarkan kepada pelanggan seterusnya boleh meningkatkan jualan dan mempertingkatkan pengalaman pelanggan.”

ACE adalah platform pengesanan analitik hasil pembangunan sepenuhnya oleh TM R&D. Ia membantu para peniaga untuk memahami trafik pelanggan dengan memberikan data dan maklumat tentang pergerakan pelanggan, demografik dan interaksi menerusi pengesanan emosi pada segmen tertentu di dalam premis.

ACE menawarkan penyelesaian perniagaan pintar yang mampu membantu peniaga memahami pelanggan justeru membolehkan mereka memetakan maklumat tersebut secara tepat dengan strategi pemasaran mereka.

Selain pengiktirafan dalam kategori pelanggan, TM R&D turut menerima tiga (3) lagi Merit:
1. Merit dalam Kategori Perkhidmatan Perniagaan: Perkhidmatan Penyelesaian ICT untuk
Talian Tetap Suara tanpa wayar (FiVoW).
2. Merit dalam Kategori Perkhidmatan Perniagaan: Perkhidmatan Penyelesaian ICT untuk
Platform Inovasi Terbuka (OIP).
3. Merit dalam Kategori Rentas Industri: Kajian & Pembangunan untuk OIP

FiVoW adalah penyelesaian mudah alih bersepadu untuk nombor talian tetap yang membenarkan pengguna untuk membuat dan menerima panggilan suara pada bila-bila masa, dan di mana sahaja menggunakan telefon pintar menerusi sebarang sambungan rangkaian data.

Manakala OIP dibangunkan untuk membawakan perisian secara lebih pantas, boleh diubah dan berkualiti tinggi. OIP mengetengahkan kelajuan dan inovasi menerusi perkongsian perkhidmatan dan data melalui antara muka aplikasi pengaturcaraan (API) dengan menggalakkan penggunaan semula algoritma, perkhidmatan dan set-set data.

Semua penerima Anugerah APICTA MSC Malaysia (Pemenang Anugerah dan Merit) layak untuk menyertai Asia-Pacific ICT Alliance Awards yang akan diadakan di Ha Long City, Vietnam pada November tahun ini.

Anugerah APICTA MSC Malaysia memberi pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang individu, pelajar, usahawan, PKS dan organisasi yang beroperasi di Malaysia dan telah menyumbang kepada pembangunan inisiatif MSC Malaysia atau dalam pembangunan aplikasi serta perkhidmatan yang memberi manfaat kepada Negara. Ia mengiktiraf kreativiti, inovasi dan kecemerlangan dalam arena ICT Malaysia.

Tahun ini, Anugerah APICTA MSC Malaysia telah dianjurkan sebahagian daripada Serba Dinamik-PIKOM Unicorn Tech Awards 2019 yang dianjurkan oleh PIKOM, Persatuan Teknologi Nasional Malaysia.