TM ONE, unit rumusan perniagaan perusahaan dan sektor awamnya bagi Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Open University Malaysia (OUM) untuk mewujudkan perjalanan transformasi digital untuk kampus universiti tersebut di Kuala Lumpur.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ahmad Taufek Omar, Naib Presiden Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif, TM ONE dan Prof. Dato’ Dr Mansor Fadzil, Presiden/Naib Canselor, OUM.
MoU ini bertujuan untuk menyediakan dan melaksanakan empat (4) kluster inisiatif transformasi digital untuk OUM meliputi sambungan mudah alih menerusi pakej unifi Mobile kepada pelajar dan kakitangan pentadbiran; penyelesaian perkhidmatan pintar – Smart Campus Management, penyelesaian ICT yang boleh diubah menerusi perkhidmatan awan TM; dan prasarana kolaborasi TM ONE untuk penyelesaian komunikasi bersepadu buat pengurusan dan para pelajar OUM.
Ahmad Taufek berkata, “MoU ini menandakan permulaan sinergi di antara TM ONE dan OUM untuk banyak lagi kerjasama masa hadapan. Antara bidang yang berpotensi mungkin melangkaui empat kluster tersebut bagi mencipta nilai yang lebih tinggi bagi membolehkan OUM kekal kompetitif dalam sektor pendidikan.
Penyelesaian-penyelesaian ini membolehkan OUM mengoptimumkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaganya. Kami berharap penyelesaian ini juga akan mengalakkan lebih banyak penglibatan dan interaksi antara komuniti kampus OUM, sambil menawarkan pelajar dan pengunjung dengan pengalaman yang dipertingkatkan di OUM.
Ekosistem Terhubung kami menawarkan penyelesaian digital terkini untuk institusi pendidikan memulakan transformasi digital mereka. Sebagai pemacu aspirasi Negara Digital Malaysia, TM melalui TM ONE akan terus memainkan peranan aktif dalam pembinaan negara terutamanya dalam sektor pendidikan.”
Sementara itu, Prof Dato’ Dr Mansor berkata, “Kolaborasi ini akan menawarkan banyak faedah, terutamanya untuk para pelajar dan kakitangan di 33 Pusat Pembelajaran kami di seluruh negara.
Oleh kerana kebanyakan sesi pembelajaran berlangsung secara online, pelan unifi Mobile ditawarkan pada kadar yang berpatutan menjadikan pelajar lebih mudah untuk mengakses bahan kursus, berinteraksi dengan pembimbing dan rakan serta menyemak pembelajaran mereka menerusi sistem pengurusan pembelajaran, myINSPIRE, tanpa perlu risau tentang ketersediaan WiFi, di mana sahaja mereka berada.”
Menerusi kerjasama ini, TM ONE akan menawarkan pakej unifi Mobile korporat untuk kakitangan dan para pelajar OUM pada hanya RM59 sebulan.