Jika dahulu, telefon pintar hanya berfungsi untuk membuat panggilan, menerima atau menghantar mesej selain dijadikan ‘kamera poket’ untuk mengambil gambar, kini fungsinya semakin canggih melebihi ciri sebuah Phablet (telefon dan tablet).
Ciri paling menarik perhatian penulis ialah tulisan tangan menggunakan S Pen pada aplikasi Note boleh ditukar kepada teks digital untuk memudahkan suntingan dan perkongsian serta mengeksport ke format yang berbeza (termasuk Microsoft Word) semudah yang pernah dilakukan.
Ciri ini cukup sesuai kepada mereka yang bekerjaya sebagai wartawan, setiausaha, pereka fesyen atau pereka dalaman, pembantu peribadi ataupun golongan profesional seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang perlu mencatat nota tanpa bergantung sepenuhnya kepada pen dan buku.
Telefon pintar ini boleh diumpamakan sebagai ‘PA’ dalam menempuh jadual harian yang sentiasa padat walau dimana mereka berada.
Bagaimanapun, setiap telefon pintar mempunyai ciri-ciri tersendiri dan bergantung kepada sejauh mana telefon ini benar-benar digunakan untuk urusan harian.
Kecanggihan pada peranti ini dapat dirasai apabila Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd memberi peluang kepada Prebiu.com menguji telefon pintar S10+ kali ini.
Jika diikutkan, sebenarnya banyak ciri yang boleh diulas namun hanya beberapa ciri penting yang mahu ditonjolkan di sini kerana peranti ini memang hebat secara keseluruhannya.
S Pen
Galaxy Note tanpa S Pen umpama sebatang pen tanpa dakwat. Justeru ciri pen pintar ini dipertingkatkan keupayaannya sekali gus mampu melaksanakan tugas menerusi pergerakan udara mengikut simbol tertentu menerusi ciri Air Action.
S Pen yang dahulunya sekadar digunakan sebagai stylus kini hadir dengan fungsi baharu yang lebih berguna.
Skrin Galaxy Note10+ ini juga akan bertukar terus menjadi memo pad apabila S Pen dikeluarkan, membolehkan ada membuat catatan terus di saat kecemasan dengan mudah dan lancar pada skrin.
Ciri utama S Pen semakin canggih apabila menerima sokongan bluetooth yang membolehkannya menjadi alat kawalan jauh. Peranti Note 10+ kini dilengkapi sensor accelerometer dan giroskop yang mana mod dan fungsi kamera kini boleh dikawal dengan aksi gesture Air Actions.
Anda hanya perlu menggerakkan S Pen atas ke bawah membolehkan kamera utama diubah ke kamera swafoto. Menekan butang S Pen untuk masa yang lama memberikan arahan kamera mengambil gambar tanpa henti. Untuk mengubah kepada kedudukan mod-mod kamera juga boleh dilakukan dengan kawalan gesture baharu.
Jika sebelum ini, pengguna Note 9 mengeluh kerana fungsi bateri S Pen hanya mampu bertahan 30 minit namun peranti terkini mampu bertahan sehingga 10 jam. Justeru anda tidak perlu risau S Pen kehabisan bateri ketika menggunakannya sebagai alat kawalan aplikasi Powerpoint.
Kamera
Note 10+ dilengkapi sistem tri-kamera yang mana anda boleh mengambil gambar menggunakan lensa sudut ultra-lebar seperti yang ciri pada Galaxy S10.
Gambar yang terhasil cukup jelas dan berkualiti apabila diambil menggunakan kamera yang dipertingkatkan ini. Lihat sahaja contoh gambar dibawah ini.
Sistem kamera utama menggabungkan sensor 12+16+12+ 3D TOF Megapixel. Kamera utama 12-Megapixel dengan lensa lebar mempunyai sistem bukaan boleh ubah f/1.5+ f/2.4.
Lensa sudut ultra lebar f/2.2 dipadankan dengan sensor 16-Megapixel manakala lensa f/2.1 zum optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel. Sensor terakhir TOF membolehkan imbasan dunia secara 3D seperti yang ditemui pada Galaxy S10 5G. Kamera hadapan pula sebesar 10-Megapixel.
Pada Note 10+, terdapat satu sensor tambahan iaitu kamera 3D TOF. Dengan sensor ini kesan bokeh Live Focus akan kelihatan lebih asli berbanding tahun lalu.
Ia turut membawakan fungsi imbasan objek secara 3D. Objek yang telah diimbas kemudian boleh digunakan di dalam aplikasi kamera sebagai objek realiti terimbuh yang mengikut pergerakan tubuh individu yang dapat dilihat di dalam kamera.
Selain itu, kamera dipertingkatkan dengan kemampuan Live Focus Video. Latar belakang boleh dikaburkan atau dikenakan kesan khas atau bokeh ketika mengambil video secara masa nyata.
Turut diperkenalkan ialah mod rakaman video Super Steady yang menstabilkan video ketika merakam aksi lasak.
Bateri
Bateri peranti sebesar 4300 mAh menyokong pengecasan berwayar sehingga 45W dan nirwayar 20W. Masih terdapat fungsi menyokong pengecasan peranti lain PowerShare sekiranya diperlukan.
Powershare bermaksud, peranti ini boleh digunakan bersama pelbagai peranti berhubung lain, termasuk dari segi peranti boleh-pakai dan juga tablet.
Anda boleh mengecas jam pintar atau Galaxy Buds dengan hanya meletakkannya dibelakang telefon ini.
Selain itu, pengguna juga turut boleh menggunakan Galaxy Note10+ untuk mengawal peralatan elektronik lain di rumah termasuk seperti pendingin hawa, televisyen dan sebagainya.
Pada Note 10+, pengecasan pantas dengan kuasa 25W disokong menerusi pengecas yang disertakan. Dengan ini pengguna Note 10+ tidak perlu lagi menanti lama untuk peranti dicas sepenuhnya.
Kelebihan bagi pengguna Note 10+ ialah terdapat pilihan Super Fast Charging dengan kuasa maksimum 45W menerusi pengecas yang dibeli berasingan.
Sistem pengecasan yang lebih pantas ini amat diperlukan kerana sekali lagi kapasiti bateri dipertingkatkan. Pada Note 10+ bateri kini sebesar 4300 mAh berbanding 4000 mAh pada Note 9. Bateri sebesar 3500 mAh pula digunakan pada Note 10.
DeX Pada PC Dan Mac
Salah satu yang unik bagi pengguna siri Galaxy Note terutama Note10+ ini adalah ciri yang bernama DeX kerana boleh disambungkan terus ke PC atau Mac dengan hanya menggunakan kabel USB yang mudah sekali gus meningkatkan lagi produktiviti.
Galaxy Note10+ juga mengintegrasikan pautan ke Windows terus ke Quick Panel. Dengan hanya satu klik, boleh terus ke Windows untuk melihat pemberitahuan, menghantar dan menerima mesej serta melihat semula foto terkini tanpa melihat telefon.
Apabila kedua-dua peranti disambung pada komputer, DeX Desktop akan dilancarkan pada skrin komputer. Pengguna boleh memindahkan data dari peranti ke komputer dan sebaliknya dengan hanya melakukan aksi drag and drop. Cukup mudah bukan!
Samsung dan Microsoft sebelum ini turut mengumumkan kerjasama bagi menambah meningkatkan integrasi di antara peranti yang lebih mendalam.
Pada masa depan, pengguna Windows 10 boleh mengangkat panggilan telefon pada Note 10 terus pada PC milik mereka. Ini adalah kesinambungan dari fungsi menjawab kesemua mesej pada peranti terus di PC menggunakan aplikasi Your Phone sedia ada.
Daripada segi kelajuan pula, peranti ini menggunakan pemprosesan Exynos 9825 bersama memori (RAM) 8GB sekali gus menjadikan pengalaman kerja lebih lancar berbanding sebelum ini.
Exynos 9825 adalah penambahbaikan berbanding Exynos 9820 yang digunakan pada Galaxy S10 yang dilancarkan pada bulan Februari yang lalu. Aplikasi dapat dilancarkan lebih pantas tetapi pada waktu yang sama memberikan penjimatan penggunaan bateri.
Storan Sehingga 1.5TB
Bagi anda yang gemar mengambil gambar dan video yang banyak atau memiliki kumpulan WhatsApp yang sentiasa menerima gambar-gambar yang beribu-ribu seminggu, peranti ini amat sesuai tanpa perlu bimbang kehabisan ruang dalam peranti atau perlu memadam gambar-gambar sedia ada.
Storan yang besar adalah satu keperluan bagi mereka yang sering ‘update’ status facebook atau instagram. Note 10+ ditawarkan dengan storan sehingga 512GB. Sekiranya storan tambahan diperlukan, pengguna boleh memperingkatkannya dengan kad Miro SD sehingga 1TB.
Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun sebanyak mungkin pelbagai siri TV, muzik dan dokumen kerja.
Memori Sehingga 12GB
Bagi Note 10+, memori sebesar 12GB ditawarkan sebagai standard. Pelbagai aplikasi kini boleh dilancarkan serentak.
Bagi mereka yang gemar melakukan multi-tugas ini memastikan kerja yang telah dilakukan pada aplikasi lain akan kekal terbuka tanpa kerisauan ia dimatikan oleh sistem operasi.
Malahan pada Note 10, memori sebesar 8GB kini ditawarkan sebagai pilihan standard. Ini masih lagi saiz memori besar berbanding majoriti telefon pintar lain di pasaran.
Kesimpulan
Jika digenggam secara kasarnya, peranti Note 10+ dengan skrin 6.8″ mempunyai saiz skrin lebih besar berbanding Note 9, namun selesa dipegang pada sebelah tangan disebabkan saiz lebarnya hanya 7.9mm.
Rekaan badannya lebih mesra, ringan dan material digunakan yang kelihatan lebih premium memberi kelebihan kepada gaya si pemiliknya.
Ini menjadikan Note 10+ peranti ideal untuk mereka yang gemar menonton video, bermain game atau membuat sesuatu lakaran seperti lukisan digital menggunakan telefon pintar.
Selain itu, ia dipadankan dengan penggunaan pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, kemampuan kalis air IP68, skrin dengan sokongan paparan HDR10+ dan sistem mengecas peranti lain PowerShare.
Kekuatan pada waktu ini terletak pada rekaan yang menarik, sistem Air Action S Pen, kapasiti bateri yang lebih besar dan sokongan format pengecasan yang lebih pantas. Kelemahan terletak pada kehilangan bicu audio.
Di Malaysia Samsung Galaxy Note 10 dijual pada harga RM3699. Samsung Galaxy Note 10+ pula dijual pada harga RM4199 untuk storan sebesar 256GB dan RM4799 untuk versi 512GB.
Spesifikasi
Samsung Galaxy Note 10+
- Skrin : 6.8″ Dynamic AMOLED QHD+ HDR10+
- Cip : Exynos 9825
- Memori : 12GB RAM
- Storan : sehingga 512GB
- Bateri : 4300 mAh
- Sokongan kad mikro SD : sehingga 1TB
- Harga: RM4,199 (12/256GB) dan RM4, 799 (12/512GB)