Bengkel dua hari kumpul 250 siswazah seluruh negara bagi memupuk minat dan kemahiran dalam keusahawanan digital
Celcom Axiata Berhad, dalam memenuhi komitmen berterusan bagi membangun segenap segmen masyarakat, telah bergabung dengan Kementerian Pendidikan dan Google bagi menjalankan bengkel pemasaran digital selama dua hari bagi siswazah tempatan.
Berlangsung pada 28-29 September 2019, program KPM-Celcom Siswapreneur @ Google
Bootcamp 2019 merupakan kursus jangka pendek yang mengumpulkan lebih 250 para pelajar daripada 40 universiti awam dan swasta, politeknik, dan kolej di seluruh negara.
Program ini juga dibuka kepada kakitangan dan pensyarah daripada institusi tersebut.
Bengkel tersebut yang dilaksanakan bagi kali yang kedua, merupakan sebahagian daripada
program KPM-Celcom Siswapreneur, yang terjalin di antara syarikat telekomunikasi tersebut dengan Kementerian Pendidikan sejak tahun 2016.
Program tersebut dibangunkan dengan tujuan memupuk minat, memperkasa minda keusahawanan di kalangan pelajar, serta membina kemahiran dan bakat bagi melahirkan usahawan digital.
Dalam bengkel tersebut, Google akan berkongsi modul latihan yang penting seperti asas
permulaan perniagaan, asas pemasaran digital, alat atas talian bagi kajian pemasaran, dan
strategi media sosial bagi perniagaan.
Program KPM-Celcom Siswapreneur @ Google Bootcamp 2019 telah dilancarkan oleh Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan, di Residensi UTM KL. Turut hadir adalah Muniff Kamaruddin, Ketua Pegawai Strategi dan Penjanaan Nilai, Celcom Axiata Berhad,
Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Pendidikan, Datuk Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, dan Nick Bauer, Ketua, Polisi Awam, Google.
Dalam majlis tersebut juga, empat universiti tempatan iaitu Universiti Malaya, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Malaysia Sarawak, dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia telah menandatangani perjanjian persefahaman untuk turut serta dengan 17 universiti lain yang telah mengikuti program KPM-Celcom Siswapreneur.
Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata Celcom melihat
kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan dan Google merupakan sebahagian daripada
sumbangan yang menyeluruh dalam memajukan masyarakat dengan melibatkan golongan belia, yang merupakan komponen penting dalam membina ekosistem digital negara ini.
“Dalam masa 31 tahun kami membangun bersama negara ini, kami sentiasa mementingkan keterangkuman seluruh rakyat Malaysia dalam kesemua program pembangunan masyarakat yang kami jalankan.
Belia hari ini merupakan golongan yang paling ramai mengadopsi dan menjadi pengguna digital. Maka terdapat peluang untuk menyuburkan lagi serta menyediakan asas bagi
pelajar untuk mendokong ekonomi digital yang terus berevolusi.
“Dalam usaha menyesuaikan diri dalam ekosistem digital hari ini, adalah penting untuk golongan muda dilengkapkan dengan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman berharga serta mempersiapkan mereka untuk cabaran ekonomi alam digital.
Kolaborasi antara Celcom dengan Google, iaitu rakan digital di peringkat global yang memiliki tujuan yang sama dalam menggalakkan pemerkasaan digital akan memacu latihan dan proses pembelajaran yang dikongsi sepanjang ‘bootcamp’ ini,” katanya lagi.