Keluaran edisi terhad ini memberikan sentuhan berketerampilan tinggi ke atas rekaan dinamik dan ketangkasan jentera Sports Activity Vehicle (SAV) premium bersaiz sederhana.

BMW Malaysia memperkenalkan BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport untuk menyerlahkan dinamik pemanduan cemerlang jentera SAV bersaiz sederhana ini yang dipasang dan dikeluarkan di Malaysia.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, sejak mula mengkomersialkan BMW X3 generasi ketiga pada tahun lalu, lebih 1,600 unit kenderaan berjaya diserahkan kepada pemilik-pemilik baharu.

“BMW X3 merupakan perintis segmen kenderaan SAV bersaiz sederhana dan ia menerajui segmen tersebut. Kami ingin menganjak tanda aras yang dipahat dalam industri permotoran Malaysia menerusi BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport ini untuk terus merealisasikan “Sheer Driving Pleasure” yang kami janjikan di Malaysia.”

Beliau berkata, jentera BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport akan dipasang di fasiliti di Kulim, lantas mendemonstrasikan komitmen di Malaysia.

Reka bentuk luaran dilengkapi Pakej M Sport yang eksklusif seperti roda aloi ringan ‘M’ bersaiz 20 inci menerusi penggayaan dua ruji 699 M berserta set tayar bercampur dan ‘run-flat’, suspensi M Sport, brek M Sport dan penggayaan tubuh M Aerodynamic.

Garisan Bayang berglos tinggi disumbang oleh rel bumbung BMW Individual menyerlahkan lagi sifat ketangkasannya, sementara designasi eksterior ‘M’ pada kedua-dua panel sisi hadapan menonjolkan estetika M Sport pada jentera ini.

Di seksyen belakang, BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport didatangkan bersama bampar belakang aerodinamik ‘M’ bersama kemasan paip ekzos dalam glos krom.

Jentera alaf baharu berkenaan dikuasakan oleh enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 252 kuasa kuda pada tahap 5,200 – 6,500 rpm, serta puncak tork berjumlah 350 Nm pada tahap 1,450 – 4,800 rpm.

BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport mampu membuat pecutan dalam masa 6.3 saat dan mencatat kelajuan tertinggi mencecah 240 km/j. Emisi karbon dihadkan pada paras 174 g/km dan penggunaan bahan api pada paras 7.6 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km.

Komponen transmisi pula hadir dalam bentuk Steptronic Sport Automatic 8 kelajuan. Ruang dalam, BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport mempamerkan stereng berkulit M Sport dan kemasan ambang pintu berdesignasi ‘M’.

Kemasan trim interior menampilkan potongan aluminium halus, dan kemasan trim sorotan yang hadir dalam warna krom mutiara (Pearl Chrome), menzahirkan bahasa reka bentuk interior yang serba ‘sporty’.

Pedal ‘M-specific’ menambah sentuhan kelasakan bersama upholsteri kulit ‘Vernasca’ dan sulaman berkontras untuk menyerlahkan lagi keterampilannya. BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport menawarkan sebuah pengalaman hiburan bertaraf premium menerusi paparan Navigation System Professional bersaiz 10.25” bersama fungsi sentuhan, iDrive Touch dan sistem HiFi dengan 12 pembesar suara.

Aspek keselesaan dinaik taraf melalui sistem penyaman udara tiga zon automatik dan tempat duduk hadapan yang boleh dilaras menggunakan tenaga elektrik, hadir dengan fungsi memori pemandu.

Akses kenderaan tanpa kunci serta pintu but yang boleh dibuka secara elektrik juga menawarkan kemudahan buat para pemilik jentera SAV baharu ini. Enam beg udara dan dua sambungan tempat duduk ISOFIX juga disediakan untuk membekalkan tahap keselamatan yang tinggi buat pemandu dan penumpang.

Penawaran warna bagi BMW X3 xDrive30i dengan Pakej M Sport merangkumi Alpine White, Carbon Black, Glacier Silver dan Phytonic Blue. Upholsteri bermaterialkan kulit ‘Vernasca’ ditawarkan dalam warna hitam dengan sulaman kontras biru.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW X3 xDrive30i terbaharu dengan Pakej M Sport ialah:

BMW X3 xDrive30i Terbaharu RM 313,800
Pakej M Sport Tambahan RM 15,000

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini