Buat pertama kalinya, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) yang mengedarkan kenderaan Nissan di negara ini memecah tradisi memperkenalkan kenderaan hibrid dalam sejarah permotorannya meskipun langkah itu dilihat agak terlewat berbanding jenama kenderaan Jepun lain.
MODEL yang menjadi pilihan untuk enjin hibrid ini pula adalah antara model SUV paling popular iaitu Nissan X-Trail 2.0L 2WD Hybrid yang pertama dalam segmennya di Malaysia.
Sebagaimana pernah disiarkan dalam laporan pandu uji sebelum ini, Nissan X-Trail 2019 ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan yang paling asas 2.0L 2WD pada harga RM133,888; 2.0L 2WD Mid pada RM145,888; 2.5L 4WD pada RM153,888 dan yang paling tinggi, 2.0L Hybrid 2WD pada harga RM159,888 (semua harga tidak termasuk insurans dan SST).
Kesemua varian yang dipasang sepenuhnya di negara ini, menerima pengiktirafan kenderaan jimat tenaga (EEV) dan berkongsi sistem transmisi yang sama iaitu Xtronic CVT dengan mod manual yang turut dipertingkatkan.
Untuk sesi pandu uji kali ini, penulis diberikan model Nissan X-Trail 2.0L 2WD Hybrid yang turut dilengkapi ciri keselamatan terkini iaitu Nissan Intelligent Mobility.
Nissan Intelligent Mobility hanya dipasang pada tiga varian iaitu 2.0 Hybrid, 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD MID. Ini merangkumi:
Intelligent Forward Collision Warning (FCW) *
Intelligent Forward Emergency Braking (FEB) *
Intelligent Cruise Control (ICC) *
High Beam Assist (HBA)*
Lane Departure Warning (LDW)
Blind Spot Warning (BSW)
Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Moving Object Detection (I-MOD)
Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
Motion Activated Power Tailgate (yang diaktifkan dengan pergerakan mudah di bawah pintu belakang untuk membuka dan menutupnya)
*Untuk 2.5L 4WD & 2.0L Hybrid sahaja
Rekabentuk luaran
Jika dilihat pada perbezaan ketara berbanding model terdahulu ialah rekaan baru gril hadapan ‘V-Motion’ yang lebih besar, Lampu Nyalaan Siang LED dan Lampu Hadapan berbentuk Boomerang baru, Lampu Belakang LED Boomerang dalam perumah berwarna gelap.
X-Trail 2019 kali ini juga tampil dengan antena jenis ‘sirip jerung’ yang lebih pendek dan nampak sporty manakala hiasan krom lebih ditonjolkan berbanding model terdahulu.
Bahagian bampar hadapan juga baru sepenuhnya, dengan lampu kabus kini tampil lebih tirus manakala bukaan pintu belakang boleh dilakukan dengan gerakan kaki secara automatik bagi semua varian kecuali yang paling asas.
Suis untuk membuka pintu belakang juga boleh ditekan dari dalam atau menggunakan kunci kawalan jauh. Untuk menutup pula hanya tekan butang dibelakang.
Model ini masih menggunakan rim bersaiz 17-inci, tetapi bagi model 2019, tampil dengan rekaan jejari yang baru.
Ruang dalaman
Paling ketara ialah rekaan stereng rata pada bahagian bawah serba baharu yang turut digunakan pada model Nissan Serena S-Hybrid terbaharu.
Selain itu, paparan digital Advanced Drive Assist pada panel instrumen disediakan dan bagi model hibrid paparan sistem hibrid pada kluster instrumen di hadapan pemandu.
Sistem infotainmen melalui skrin tujuh-inci pada papan pemuka pula dipertingkatkan dengan kini menyokong ciri Android Auto dan Apple CarPlay.
Pada model kali ini suis brek parkir elektrik-mekanikal diperkenalkan bagi menggantikan brek parkir kaki pada model lama dan ciri butang auto hold bagi memudahkan pemandu memberhentikan kenderaan ini ketika dilampu isyarat tanpa perlu menekan pedal brek.
Nissan X-Trail varian hibrid kini hanya tinggal lima-tempat duduk untuk memberi ruang kepada tempat meletak bateri sistem berkenaan di bawah lantai ruang barangan belakang.
Bagaimanapun, daripada semua ciri baharu yang ditawarkan ini, Nissan lebih ke hadapan dalam menawarkan teknologi canggih dan pintar.
Selain kerusi saduran kulit dengan ciri ‘Zero Graviti’ bagi kerusi hadapan, Papan Pemuka serta Pelindungan Lutut dengan kemasan Kulit dan Paparan Bantuan Pemanduan Termaju bersaiz 5-inci nyata memberi penampilan segar berteknologi tinggi dengan sentuhan lebih mewah.
Hanya varian 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid dilengkapi Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collision Warning dengan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB).
Jumlah beg udara untuk tiga varian teratas juga dinaikkan kepada enam semuanya sebagai standard. Varian paling asas hanya menerima empat beg udara. Lain-lain ciri keselamatan yang ada termasuklah Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA) dan dua cagak Isofix.
Enjin
Model ini menggunakan enjin MR20DD 2.0L Twin CVTC suntikan terus dengan janaan kuasa sebanyak 144 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 200 Nm pada 4,400 rpm.
Ini kemudiannya ditambah pula dengan penggunaan sebuah motor elektrik berkuasa tinggi untuk memberikan pengalaman kenderaan elektrik (EV) yang senyap dan lancar dengan kuasa 41 PS dan 160 Nm.
Ketika enjin dihidupkan, penulis hampir tidak mendengar bunyi enjin kerana ia cukup senyap dan dibantu sepenuhnya oleh kuasa bateri, begitu juga ketika SUV ini bergerak pada kelajuan rendah.
Bateri lithium-ion 0.9 kWh pula diletakkan di bawah lantai ruang barangan sekali gus kerusi baris ketiga tidak dilengkapi pada model hibrid ini.
Bagi bateri lithium-ion yang digunakan ini, ia terdiri daripada empat modul dengan 14 sel, menjadikan jumlah keseluruhan sel ialah 56. Setiap sel mempunyai 3.6V, membawa kepada jumlah keseluruhan 202 Volts, sementara kapasiti bateri yang digunakan ialah 0.9kWh.
Sistem klac model ini juga unik kerana ia memanfaatkan teknologi Nissan Intelligent Dual Clutch, yang merujuk kepada klac yang terletak antara enjin dan motor elektrik serta satu lagi di antara motor elektrik dan transmisi X-CVT.
Kecekapan penggunaan minyak yang boleh dicapai ialah 16.1 km/liter bagi model hibrid ini sekali gus memberikan penjimatan bagi tempoh jangka panjang khususnya ketika harga pasaran minyak yang tidak menentu ketika ini.
Bagi transmisi, semua varian menggunakan unit yang sama iaitu X-Tronic CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan dan kawalan stereng juga rasa lebih ringan berbanding model terdahulu.
Lantai bahagian barangan di belakang juga lebih tinggi disebabkan oleh ruang bateri menjadikan ruang yang tersedia ialah 404 liter namun tayar ganti tetap ada.
Dengan enam beg udara, kawalan kestabilan (VDC), kawalan cengkaman (TC), brek enjin aktif, ABS dan sebagainya didatangkan dalam ciri standard menjadikan model ini amat berbaloi dimiliki.
Kesimpulan
Selepas memandu uji model ini pada hujung minggu dalam pelbagai corak pemanduan, penulis mendapati model hibrid ini memberikan kepuasan pemanduan yang menyeronokkan dan sesuai dipandu untuk kegunaan harian ke tempat kerja khususya menempuh kesesakan jalan raya bandar.
Bagi anda yang mahu menjimatkan ‘poket’ bagi perbelanjaan petrol harian, model hibrid adalah model yang sesuai dengan karakter anda. Enjin hibrid menawarkan penjimatan dan prestasi meskipun ketika pedal minyak ditekan.
Nissan X-Trail facelift 2019 ini didatangkan dengan lima-tahun jaminan, dan ini termasuk kelengkapan sistem hibrid yang ada dan baterinya.
Bagaimanapun jika selepas tamat tempoh lima tahun jaminan, bergantung kepada kadar tukaran wang asing semasa, ETCM memaklumkan kos untuk menukar bateri akan mencecah sekitar RM25,000.
Namun, anda mungkin tidak perlu menukar satu set bateri kerana terdapat beberapa sel bateri yang menyokong kuasa bateri SUV ini. Mungkin hanya perlu menukar beberapa sel bateri dan bukannya satu set.
Kehadiran model X-Trail 2019 adalah tepat pada masanya kerana ia memberi saingan kepada model SUV sedia ada dipasaran dan model Nissan juga sudah terbukti model yang menjimatkan bahan api sejak dahulu lagi.
Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Putih (Brilliant White), Perak (Tungsten Silver), Hijau (Titanium Olive), Hitam (Diamond Black) dan Imperial Umber (baharu).
SPESIFIKASI
Nissan X-Trail 2.0L 2WD Hybrid
Enjin: 1,997cc, empat silinder sebaris, 16 injap, DOHC dengan Twin CVTC
Kuasa maksimum: 144PS pada 6,000rpm
Tork maksimum: 200Nm pada 4,400rpm
Transmisi: Xtronic CVT tujuh kelajuan
Motor Elektrik : 41 PS dan 160 Nm
Tahap penjimatan : 16.1 km per liter, atau 6.21 liter bagi setiap 100 km
Ciri keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, HSA, TCS dan ABLS
Harga: RM159,888 (tidak termasuk insurans dan SST)