Seramai kira-kira 10,000 orang dijangka menyertai Larian Menjunjung Kasih 2019 yang akan diadakan pada 8 Disember ini sempena Hari Keputeraan yang ke-74 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Padang Timur, Petaling Jaya.
PENGARAH Majlis Sukan Negeri Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, program itu bukan sahaja tertakluk kepada acara larian malah terbuka juga kepada beberapa acara lain seperti street soccer, sukan rakyat, permainan kanak-kanak dan busking.

Beliau berkata, bagi acara larian pula, ianya terbahagi kepada tiga kategori iaitu 5km, 10km dan 21km.
“Tahun ini kita ada kategori 21 km dan ianya sama seperti acara larian PJ Half Marathon.
“Bagi kategori hadiah pula, kita mempunyai hadiah cabutan bertuah yang lebih menarik daripada hadiah berlari. Ini kerana bagi penggemar acara larian seperti ini, mereka lebih gemar hadiah cabutan bertuah dari hadiah berlari,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya dalam usaha untuk bekerjasama dengan UMW Toyota Malaysia untuk menawarkan hadiah berupa kereta iaitu Toyota Yaris atau Toyota Vios.
Selain itu, hadiah motosikal Yamaha Y15R atau Ysuku juga bakal dipertimbangkan dan masih dalam perancangan.

Penganjuran kali ke-5 Larian Menjunjung Kasih akan diadakan pada 8 Disember 2019 bertempat di Padang Timur Petaling Jaya dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor dan Master Pacer Venture.
Pendaftaran kini dibuka sehingga 1 November ini dan mereka yang berminat untuk menyertai larian boleh mendaftar di talian 018 662 1892 atau melayari laman web www.racexasia.com atau www.jomrun.com
Anda juga boleh melayari laman facebook & Instagram Larian Menjunjung Kasih 2019.



































