Hadiah wang tunai RM1 juta dan lima unit kereta untuk enam pelanggan terpilih

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyampaikan hadiah kepada enam pemenang Kempen Al-Awfar dalam satu acara yang diadakan khas untuk Kategori Cabutan Jutawan & Cabutan Khas susulan pelancaran akaun pelaburan Al-Awfar Baharu pada bulan April lalu.

Hamidon Rasimon (dua dari kiri) gembira apabila terpilih untuk memenangi hadiah Cabutan Khas Al-Awfar Bank Islam iaitu sebuah kereta Mercedes C200 Avantgarde

Hadiah wang tunai RM1 juta bagi Kategori Cabutan Jutawan dan lima unit kereta yang terdiri daripada sebuah Mercedes C200 Avantgarde dan empat unit Honda Civic 1.5TC-P telah disampaikan kepada pelanggan Al-Awfar bertuah dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Mercedes-Benz, Kinrara di Puchong, Selangor.

Menyempurnakan penyampaian hadiah tersebut kepada pemenang ialah Mohamed Iran Morrif Mohd Shariff, Ketua Pegawai Operasi Bank Islam bersama Ketua, Deposit dan Pengurusan Tunai, Mohd Noor Jab. Turut hadir, beberapa pendeposit tertinggi akaun Al-Awfar.

Mohamed Iran berkata, “Al-Awfar Baharu menampilkan penambahbaikan kepada produk Al-Awfar pertama yang telah dilancarkan 10 tahun lalu. Al-Awfar merupakan satu produk pelaburan yang inovatif dan unik kerana ia bercirikan akaun simpanan, membolehkan pelanggan membuat pengeluaran tunai pada bila-bila masa”.

“Susulan pelancaran Al-Awfar Baharu pada 16 April 2019, akaun ini menyediakan “Lebih Hadiah, Lebih Peluang, Lebih Pemenang”.

Ikmal Zikri Ismail (tengah) sangat teruja apabila terpilih sebagai pemenang bagi cabutan Jutawan Al-Awfar Bank Islam

Hanya pada tahun ini, jumlah nilai hadiah dipertingkatkan daripada RM10 juta kepada lebih RM14 juta. Hadiah-hadiah yang terlibat turut merangkumi kereta, pakej umrah dan percutian, wang tunai dan gajet.”

Beliau berkata, menerusi akaun Al-Awfar Baharu, seramai lebih 10,000 pemenang bakal memenangi hadiah-hadiah yang lebih lumayan berbanding 628 hadiah setahun yang disediakan sebelum ini.

Ia juga akan melibatkan 31 pemenang di setiap negeri setiap bulan, tidak termasuk hadiah suku tahunan dan undian istimewa.

“Penganjuran Kempen Al-Awfar merupakan satu wadah bagi Bank Islam menzahirkan penghargaannya di atas sokongan para pelanggan selama ini, di samping menyediakan produk dan perkhidmatan patuh Syariah yang memenuhi keperluan mereka,” ujarnya.

Akaun Al-Awfar merupakan akaun pelaburan berisiko rendah yang berdasarkan konsep Mudarabah, yang mana dananya dilaburkan dalam portfolio Pembiayaan Perumahan dan Aset Tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Al-Awfar bukan hanya terbuka kepada pelanggan individu tetapi juga melibatkan penyertaan pelanggan bukan individu seperti entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, institusi pengajian tinggi, kelab dan pertubuhan.

Menerima maklum balas pasaran yang memberangsangkan dalam tempoh 10 tahun, akaun Al-Awfar telahpun melahirkan 23 orang jutawan dengan saiz dana berjumlah RM2.45 bilion dengan 771,496 akaun. Manakala Al-Awfar Baharu setakat ini telah mencapai saiz dana bernilai RM197 juta dengan 89,045 akaun.

“Dengan Al-Awfar Baharu ini, kami menyasarkan saiz dana akan meningkat kepada RM800 juta dan 230,000 pelanggan baharu pada tahun ini,” katanya lagi.

Senarai pemenang cabutan utama dan khas bagi Jun/Julai 2019:

IKMAL ZIKRI SMAIL

CABUTAN 1 JUTA

HAMIDON RASIMON

CABUTAN KHAS: MERCEDES C200 AVANTGARDE

AHMAD NAJMI ISMAIL

CABUTAN KHAS: HONDA CIVIC 1.5TC-P

DR SAEDAH SIRAJ

CABUTAN KHAS: HONDA CIVIC 1.5TC-P

SHAZLIL FAQIQ MAHAMAD SABRI

CABUTAN KHAS: HONDA CIVIC 1.5TC-P

DATO’ MOHD RAZI YAACOB

CABUTAN KHAS: HONDA CIVIC 1.5TC-P

 

Pada majlis yang sama, Bank Islam turut menawarkan ciri-ciri baharu produk perbankan keutamaan atau dikenali sebagai Program SAPPHIRE bagi memenuhi keperluan segmen pelanggan mewahnya.

Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff, Ketua Pegawai Operasi, Bank Islam (kanan) dan Mohd Noor Jab, Ketua, Deposit dan Pengurusan Tunai, Bank Islam (kiri) bersama dengan pemenang-pemenang Cabutan Jutawan dan Cabutan Khas Al-Awfar

Bertujuan untuk meneroka potensi pasaran yang besar, Program SAPPHIRE yang ditambah nilai ini menampilkan penambahbaikan mutu perkhidmatan dan penawaran termasuk penyediaan Ruang Istirahat Premium, jemputan eksklusif ke acara korporat seperti pelancaran produk baharu, tiket sukan percuma, kemudahan prakelulusan Cash Line-i, penyediaan Pegawai Perhubungan SAPPHIRE bagi memudahkan urusan perbankan berkaitan, diskaun-diskaun menarik serta mata ganjaran TruReward bagi perbelanjaan di luar negara.

Mohamed Iran berkata, “Segmen pelanggan mewah mempunyai potensi pasaran yang cerah, malah setakat ini, 11,337 pelanggan Bank Islam tergolong dalam segmen pelanggan mewah yang berpotensi.

“Oleh itu, dalam usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan dan produk terbaik yang memenuhi segenap segmen pelanggan, Program SAPPHIRE ditambah baik dengan fokus yang lebih khusus.

“Kami akan mengambil langkah yang agresif dalam mempromosikan Program SAPPHIRE termasuk lebih aktif berhubung dengan pelanggan, meneroka segmen pelanggan mewah baharu dan mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan berkaitan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Mercedes Benz kini menawarkan kepada pelanggan- pelanggan Bank Islam pakej servis khusus bernilai RM5,500.00 dan Goodie Bag bernilai RM1,000.00 dengan pembelian sebuah kereta Mercedes Benz Certified Pre-Owned pada hari ini dan esok 21 dan 22 September 2019 di Hap Seng Star Kinrara Pre-owned Centre di Puchong, Selangor.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini