Sejak model XC90 diperkenalkan di pasaran global pada 2002, model ini menjadi tumpuan bukan hanya disebabkan rekaannya tetapi dilimpahi ciri keselamatan canggih yang memang sinonim dengan jenama Volvo.
Justeru, ungkapan ‘Pemanduan kelas pertama setiap hari’, mungkin bunyinya agak janggal tetapi sebenarnya ia ada realiti apabila memandu kereta buatan Sweden ini dengan gaya Scandinavian.
Kehadiran model ini sebagai SUV premium saiz pertengahan yang menawarkan tujuh tempat duduk dan ciri fleksibel turut menerima teknologi dengan ciri keselamatan terkini yang canggih serta diyakini.
Maka tidak hairanlah SUV ini banyak digunakan sebagai kenderaan pengiring kepada golongan istana, kenamaan dan pembesar negara.
Direka Untuk Melindungi
Keselamatan adalah ‘jantung’ kepada XC90 dan ia adalah hasil inovasi berdekad kumpulan jurutera Volvo. Model ini dibina menggunakan besi boron bertekanan ultra tinggi – salah satu jenis besi paling kukuh yang ada dipasaran yang menjadi perisai kepada penumpang di dalam kenderaan ini.
Saling melengkapi ialah tali pinggang keselamatan pra-tegang yang sudah lama diperkenalkan Volvo dalam industri automotif dunia.
Model generasi kedua ini masih mengekalkan kapasiti muatan tujuh tempat duduk dengan saiz panjang kenderaan 4,950 milimeter (mm), lebar 2,140mm, tinggi 1,776mm serta jarak roda 2,984mm.
XC90 ini dilengkapi lampu hadapan LED dan nyalaan siang (DRL) berbentuk ‘T’ ala penukul dalam filem Thor dan perincian gril hadapan serta logo yang menjadi signatur pada SUV ini.
Bahagian but belakang kini lebih lebar dengan rekaan lampu yang moden, unik serta jelas tidak kira apa jua keadaan cuaca menyerlahkan elemen rekaan terkini.
Rim aloi 19 inci menjadikan reka bentuk keseluruhan tampil lebih lasak dan agresif. Tayar pula dilengkapi Sistem Pengawasan Tekanan Tayar Tidak Langsung (iTPMS) untuk maklumat kepada pemandu.
Ruang Dalaman
Menjengah ke ruang dalaman, pujian harus diberikan kepada pereka dalaman Volvo ini yang berjaya menyerlahkan seni kemewahan dengan setiap perincian diberikan termasuk ciri tablet Sambungan Sensus 9 inci pada papan pemuka dengan skrin sentuh dan sistem maklumat yang dibangunkan sendiri oleh Volvo.
Ia juga dimuatkan bersama fungsi kamera undur dengan 12 pengesan serta paparan ‘bird’s eye view’ bagi memudahkan urusan keluar masuk parkir kenderaan ini. Sistem ‘Auto Pilot’ turut dipadankan pada kenderaan ini.
Varian Inscription Plus ini didatangkan dengan 19 pembesar suara premium jenama Bowers & Wilkins membolehkan keseluruhan penumpang menikmati muzik dan bunyi terbaik dengan ciri akustik berkualiti tinggi ditawarkan.
Kemasan kerusi kulit Nappa menggunakan bahan berkualiti tinggi kulit serta kayu asli, menonjolkan segala yang terbaik dalam kabin manakala padanan bidai di tingkap penumpang belakang memberikan keselesaan maksimum.
Berada di tempat duduk paling selesa dalam kelasnya dengan fungsi urutan dan sokongan lumbar termasuk larasan empat posisi elektrik bagi penumpang hadapan.
Jika memerlukan lebih ruang, anda boleh merebahkan kerusi baris kedua dan ketiga dengan mudah bagi tujuan membawa barangan mengikut keperluan anda.
Enjin
XC90 T5 dijana enjin 2.0L pengecas turbo yang mampu menghamburkan kuasa 254hp dan tork 350Nm dengan transmisi 8-kelajuan.
Meskipun saiz badannya kelihatan besar, SUV ini mampu memecut dalam keadaan statik 0-100kmj sepantas 7.9 saat, manakala kadar penjimatan bahan api ialah 7.9 liter per 100km.
Model ini turut dipadankan dengan pilihan empat mod pemanduan dengan hanya menekan satu punat untuk menukar kepada perjalanan mod Comfort, Dynamic Eco dan Off-Road. Mod tambahan pula Individual yang boleh dilaras mengikut gabungan kesemua mod mengikut citarasa pemandu.
Ketika kenderaan ini dipandu meredah lebuh raya, kestabilannya cukup dirasai manakala penukaran gear transmisi lapan automatik Geartronic cukup lancar dan hampir tidak dirasai. Apabila dikerah untuk pendakian, enjinnya cukup responsif dan sentiasa bersedia untuk memintas kenderaan lain dalam apa jua jenis kelajuan.
Kelancaran kenderaan ini banyak dibantu oleh kerangka baru yang memberikan pengendalian lebih mantap dengan sistem gantungan hadapan double wishbone dan suspensi angin kawalan elektronik lima mod pilihan tersedia.
Ketika melalui laluan tidak rata atau melayan selekoh, kenderaan ini tetap stabil dan keseluruhan penumpang dapat menikmati keselesaan yang berterusan tanpa kekurangan daripada segi prestasi.
XC90 T5 ditawarkan dalam 3 pilihan warna baharu: Chrystal White (putih), Denim Blue (biru) dan Maple Brown (coklat) serta tambahan warna kabin baharu, Marron Brown. Lebih menarik, varian baharu itu turut dilengkapkan sistem Volvo IntelliSafe, sama seperti XC90 T8.
Sistem tersebut merangkumi ciri keselamatan bandar dengan teknologi brek automatik yang meminimumkan risiko pelanggaran depan menerusi pengecaman pejalan kaki, haiwan besar dan penunggang basikal. Ini termasuk dilengkapkan ciri pemanduan semi autonomi, Pilot Assist.
Kesimpulan
Volvo sememangnya terkenal dengan ciri keselamatan terbaik disediakan dengan sasaran ‘zero fatalities’ untuk semua kenderaan keluaran mereka sejak pengenalan tali pinggang keledar pada 1959, Volvo terus mencipta inovasi bagi industri automotif dunia.
XC90 serba baru ini dilengkapi dengan pengesan keadaan laluan terutama jalan lasak (off-road) yang akan memperkemaskan tali pinggang keledar secara automatik bagi mengekalkan kedudukan penumpang lebih stabil.
Ini termasuk fungsi penyerap tenaga pada kerusi yang membantu mengelakkan kecederaan pada tulang belakang, serta brek automatik jika terdapat kereta datang dari arah bertentangan termasuk pejalan kaki atau penunggang basikal pada jarak yang ditentukan dengan sistem City Safety.
Secara keseluruhan model XC90 sebuah SUV berprestasi, selesa, praktikal dan premium sesuai untuk pemanduan harian mahupun hujung minggu.
Ciri keselamatan terbaik menjadi keutamaan seperti beg udara dua peringkat termasuk Kawalan Pelayaran Adaptif dengan Bantu Pemandu membolehkan ciri separa pemanduan autonomi bagi jarak selamat antara kenderaan hadapan dilakukan dengan mengawal pecutan dan membrek serta kawalan roda stereng secara automatik.
SPESIFIKASI:
Volvo XC90 T5 Twin Engine Inscription Plus
- Enjin: 1,969cc, 4 silinder, Sistem Pengecas Turbo dan Kuasa Pengecas
- Kuasa maksimum: 407hp pada 5,700rpm
- Tork maksimum: 640Nm pada 2,200 hingga 5,400rpm
- Kapasiti petrol: 50 liter
- Ciri keselamatan: Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Maklumat
Titik Buta (BLIS), Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kestabilan Elektronik (ESC), Bantu Parkir, Isofix, Beg udara dua peringkat dan banyak lagi. - Harga: RM373,888 (atas jalan tanpa insurans)