Masjid ini dibekalkan dengan tenaga solar agar kampung ini tidak menghadapi masalah bil elektrik yang mahal di sini manakala air pula diperoleh menerusi beberapa perigi yang akan dibina bagi kemudahan masjid itu.

Menurut Ketua Kampung Thamer, Scten Meen semasa lawatan projek pembinaan masjid dihadapan 100 penduduk kampung berkenaan berkata, kehadiran sebuah masjid akan mengeratkan hubungan sesama penduduk di kampung itu.

“Kita amat bertuah kerana kehadiran Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican ke kampung ini setahun yang lalu telah membuka lembaran baru bagi penduduk kampung yang jauh di pedalaman ini.

“Satu rahmat dari Allah SWT kepada kami dengan kehadiran beliau, masjid ini dapat dibina. Kampung ini amat memerlukan sebuah masjid kerana kami sudah menetap di sini lebih 20 tahun dan rata-rata kami bekerja mengambil upah menanam padi dan penoreh getah.

“Kami tidak mampu membina sebuah masjid tetapi kami semua mengutamakan pendidikan anak-anak supaya mereka terus berjaya dalam pelajaran. Justeru, keperluan sebuah masjid akan menjadikan kampung ini hidup dengan pelbagai aktiviti termasuk mesyuarat, ceramah, majlis nikah atau kahwin dan kematian,” katanya.

Lakaran masjid oleh arkitek

Beliau berkata, masjid ini juga memudahkan segala urusan yang sebelum ini hanya dilakukan dengan menumpang dibalai raya komuniti yang juga dijadikan kelas Tadika Islam buat sementara waktu .

Katanya, masjid ini mempunyai keluasaan 8,093.71 meter persegi, dapat menampung hampir 800 jemaah lelaki dan wanita dalam suatu masa serta mempunyai pelbagai kemudahan serta aktiviti.

Selain itu, pihaknya turut merancang membuka Tadika Islam bagi pendidikan anak-anak belajar mengaji Al-Quran.

Beliau turut merakamkan perhargaan tinggi kepada Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang begitu komited membantu masyarakat Islam Kemboja dengan pembinaan masjid, surau, sekolah tahfiz dan perigi serta jalanraya ke masjid dan tanah perkuburan.

“Sumbangan beliau selama 20 tahun bagi mengangkat martabat masyarakat Islam daripada aspek pembangunan Islam, pendidikan dan ekonomi melayakkan beliau menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Tokoh NGO Antarabangsa.

Beliau juga boleh dikatakan seorang Tokoh Keamanan Umnah Sejagat bagi Negara-negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi dan Majlis PBB yang seharusnya memberi pengiktirafan yang sewajarnya.

Katanya, Mustapha memiliki banyak pengalaman termasuk pernah terlibat dalam banyak misi keamanan sewaktu bertugas dengan Kerajaan Malaysia.

Scten Meen berkata, banyak keunikan dan kebolehan Mustapha kerana sanggup datang beratus kilometer ke kawasan pedalaman di Kemboja dengan tidak ada kemudahan hotel, jalanraya, internet dan elektrik.

“Beliau juga tidak lupa kepada fakir miskin, mualaf serta anak-anak yatim dan Kerajaan Malaysia patut berbangga dengan pelbagai kejayaan Mustapha yang membawa imej Malaysia di peringkat antarabangsa selaku Tokoh NGO melalui hubungan baik dengan pemimpin negara dan pemimpin setempat serta masyarakat selama lebih 20 tahun.

Ini dapat dibuktikan dengan hubungan erat beliau dengan Menteri Kanan Kemboja Okhnya, Datuk Othsman Hassan dalam isu perundingan pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Bantely Manchanly Februari lalu.

“Perundingan dan persahabatan Mustapha dengan pemimpin-pemimpin Kemboja termasuk Okhnya Datuk Othsman Hassan memudahkan urusan pembebasan tersebut…ini keistinewaan dan kelebihan Mustapha,” katanya lagi.

Mustapha dua dari kanan), Scten Meen kanan sekali, Sukri Abdullah tengah, Ustaz Yusof Iman dan Marwan Sles kiri sekali

Sementara itu, Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, masjid yang menelan kos kira-kira AS$100,000 (RM405,090) itu, adalah masjid keenam yang dibina NGO itu di Kemboja.

Beliau berkata, masjid yang sedang giat dibina Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa di Kampung Thamer, Komboja, dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

“Kerja-kerja pembinaan masjid itu sedang rancak dijalankan sejak Mei lepas. Ia diperbuat daripada batu dan mempunyai tempat solat wanita di sebelah atas masjid. Masjid ini turut mempunyai ruang untuk sekolah atau tadika Islam, serta kemudahan padang untuk bersukan.

“Masjid ini dibekalkan dengan kuasa solar, agar kampung ini tidak menghadapi masalah bil letrik yang mahal di sini. Bagi sumber air pula, beberapa perigi akan dibina bagi kemudahan masjid,” katanya.

Pembinaan masjid itu bakal beri manfaat kepada penduduk, untuk melaksanakan aktiviti harian termasuk bidang pendidikan, serta aktiviti keagamaan.