Sebanyak 80 pasukan menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan atau National Robotics Competition (NRC) peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya yang dilangsungkan di SK Putrajaya Presint 11(1).

PERTANDINGAN itu menyaksikan lebih daripada 200 orang pelajar daripada sekolah rendah dan sekolah menengah di Putrajaya mempamerkan ciptaan robotik autonomi untuk mengendalikan operasi di bandar pintar.

Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Sasbadi Holdings Berhad sejak 2005, pertandingan robotik ini bertujuan memupuk minat para pelajar mempelajari Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) sambil mengasah pemikiran kritis, kemahiran penyelesaian masalah dan kreativiti untuk mereka cipta solusi robotik untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Tema tahun ini, Smart Cities mendedahkan para pelajar kepada konsep Internet Benda atau Internet of Things yang membolehkan alat-alat peranti untuk berhubung antara satu dengan yang lain, menukar data, dan menjadikan bandar lebih mampan.

Para peserta dicabar mencipta solusi untuk menjadikan bandar kita lebih kondusif didiami terutamanya apabila populasinya bertambah dari tahun ke tahun. Solusi robotik akan bertumpu pada operasi bandar pintar dari segi menjimatkan tenaga, menjadikan trafik lebih selamat dan menambah baik sistem pengangkutan awam.

Majlis penutupan pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Amat Roslan Abdul Rahman.

Beliau berkata, “Pertandingan NRC antara contoh terbaik untuk menunjukkan kepentingan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam dunia pendidikan generasi muda kita.

“Hal ini sejajar dengan cabaran teknologi baharu yang akan dibawa oleh Revolusi Industri 4.0 yang akan mewarnai perkembangan teknologi di negara kita. Justeru, pertandingan seperti ini dapat mempersiapkan mereka untuk berdepan dengan perkembangan ini yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di samping pemikiran kritis, kreativiti, inovasi dan kemahiran penyelesaian masalah yang dinamik,” katanya.

Setiap pasukan bertanding dalam satu daripada enam kategori: Regular Pro, Regular Rookie (pasukan yang menyertai NRC untuk pertama kali), Open, WeDo Regular, NRC Football atau STEM Invention & Innovation.

Dalam kategori Regular Pro dan Rookie, pelajar sekolah rendah (berusia 7 hingga 12 tahun) dicabar untuk mereka cipta dan memprogram sebuah teksi pandu sendiri; pelajar sekolah menengah rendah (berusia 13 hingga 15 tahun) pula berhadapan dengan cabaran berkaitan pencahayaan pintar.

Bagi pelajar sekolah menengah atas (berusia 16 hingga 19 tahun), mereka perlu mereka cipta dan memprogram sebuah robot untuk memasang peranti nod wayarles. Setiap pasukan dinilai dari segi pratikal dan kreativiti mereka dalam penggunaan teknologi LEGO® MINDSTORMS® di atas litar permainan.

Dalam kategori Open (terbuka kepada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah rendah dan sekolah menengah atas), pasukan diminta untuk membentangkan solusi robotik dalam aspek-aspek pentadbiran, tempat kerja dan pendidikan kepada para hakim.

Sementara itu, kategori baharu WeDo Regular yang diperkenalkan pada tahun lepas akan mencabar pelajar berusia 7 hingga 9 tahun untuk memprogram penjalanan bas sekolah pandu sendiri dengan LEGO® Education WeDo 2.0.

Kategori NRC Football pula menyediakan cabaran bola sepak robotik yang memerlukan pasukan-pasukan yang terlibat memprogram 2 buah robot (1 penjaga gol dan 1 penyerang) untuk bertanding antara satu dengan yang lain.

Akhirnya, pelajar berusia 10 hingga 14 tahun dalam kategori STEM Invention & Innovation mempamerkan kehebatan masing-masing dalam mereka cipta sebuah mesin bermotor untuk memanjat sebuah tiang bagi memungut bola di atasnya.

Pertandingan NRC peringkat negeri dianjurkan di 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan dari Julai hingga Ogos 2019. Pasukan yang menang akan membawa cabaran ke pertandingan NRC peringkat kebangsaan 2019 di Universiti AIMST, Bedong, Kedah pada 20 hingga 22 September 2019.

Selain pihak penganjur, pertandingan NRC juga dikuasai oleh LEGO® Education. Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan ini, sila layari https://nrc.sasbadi.com

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini