Perodua telah melancarkan Perodua Myvi generasi ketiga di Mauritius yang ditawarkan dalam varian 1.3 G AT dan 1.5 H AT, dengan harga masing-masing 699,000 (RM81,300*) dan 775,000 (RM90,140*) Rupee Mauritius, atas jalan termasuk insurans.
PENGEDAR tempatan, Raouf Dusmohamud & Co Ltd, telah mempamerkan Perodua Myvi di Defi Media Motor Show yang berlangsung di Swami Vivekananda International Conference Centre pada hujung minggu yang lalu.

“Perodua Myvi generasi ketiga ini telah diterima baik di Malaysia dan kami percaya rakyat Mauritius akan tertarik kepada ciri-ciri yang terdapat pada model ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Perodua berhasrat untuk mengeksport 3,270 kenderaan pada 2019 – peningkatan sebanyak 50% berbanding 2,184 unit tahun lepas. Setakat tahun ini, kami telah menjual lebih 1,600 unit di luar Malaysia dan melancarkan Myvi dan Axia masing-masing di Singapura dan Seychelles.
“Penampilan sulung Myvi di Mauritius akan mendekatkan kami kepada sasaran eksport akhir-tahun kami dan secara tidak langsung meningkatkan jenama Perodua di peringkat antarabangsa, memandangkan Mauritius terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular,” katanya.
Perodua Myvi mempunyai kecekapan bahan api melebihi 20 km/l dan memegang penarafan keselamatan penuh ASEAN NCAP lima bintang. Gaya yang unik, ruang dalaman yang menakjubkan serta ciri-ciri pintar dan praktikal digabungkan dengan kualiti tinggi untuk memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pemandu serta penumpang.

“Dilengkapi dengan lampu LED, sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, Bluetooth, empat atau enam beg udara, serta kawalan kestabilan yang terdapat pada kedua-dua varian, Myvi baharu merupakan kenderaan canggih yang dinanti-nantikan oleh rakyat Mauritius,” kata Pengarah Urusan Raouf Dusmohamud & Co Ltd, Raouf Dusmohamud.
“Kami menawarkan servis percuma sehingga 30,000 km bagi Myvi, dan kini kami juga memanjangkan tawaran yang sama kepada setiap pembelian model-model Perodua kami yang lain, iaitu Alza, Axia dan Bezza,” katanya.
Mauritius adalah pasaran eksport ketiga bagi Myvi generasi ketiga selepas Indonesia (di mana ia dijual sebagai Daihatsu Sirion) dan Singapura.
Negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi itu merupakan antara pasaran luar negara Perodua yang paling lama. Hampir 2,400 kenderaan Perodua telah dijual di sana sejak 1996, termasuk Kancil, Rusa, Kembara, Kenari, Kelisa, Myvi generasi pertama dan kedua, Viva dan kini Alza, Axia dan Bezza.
* Pertukaran matawang Rupee Mauritius kepada Ringgit Malaysia ketika siaran media dikeluarkan.






































