Pengguna eWallet boleh melaporkan sebarang transaksi tidak sah dalam tempoh 60 hari dari tarikh transaksi dan wang berkenaan akan dipulangkan dalam tempoh 5 hari bekerja

TOUCH ‘n Go eWallet (‘eWallet’) dengan bangganya mengumumkan Polisi Money-back Guarantee, polisi perlindungan dan keselamatan yang pertama seumpamanya untuk pembayaran mudah alih di Malaysia.

Polisi Money-back Guarantee ini boleh didapati secara eksklusif melalui eWallet. Ianya merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjaga hak pengguna serta memastikan akaun mereka kekal selamat dengan membawakan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan, semuanya boleh didapati melalui hanya satu APLIKASI.

Menerusi polisi ini, pengguna eWallet boleh melaporkan sebarang transaksi tidak sah dan menuntut pulangan dengan mendaftar masuk ke dalam aplikasi eWallet atau dengan melayari laman sesawang: tngd.my/mbg. Polisi tersebut diperkenalkan di Forum “Cashless Confidential: eWallet vs Cash: Which is More Secure?” anjuran TNG Digital Sdn Bhd, dengan kerjasama Nielsen Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin berkata, “Polisi Money-back Guarantee ini adalah komitmen kami untuk kesenangan masa depan ekosistem e-Pembayaran di Malaysia.

Ia turut membolehkan kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan
dengan memberikan mereka keyakinan untuk mengamalkan gaya hidup digital sepenuhnya.

Para pengguna boleh mempercayai kami, terus yakin membuat pembayaran dan menjalankan transaksi menggunakan aplikasi kami. Ketahuilah bahawa transaksi berkenaan dilindungi dan pulangan wang akan diberikan untuk sebarang transaksi tidak sah.”

Para pengguna boleh membuat pembayaran dengan senang dan selamat untuk pelbagai jenis perkhidmatan termasuklah utiliti, hiburan, makanan dan minuman serta menerusi RFID dan PayDirect, ciri-ciri unik aplikasi kami.

Dengan Polisi Money-back Guarantee, kami akan terus memainkan peranan aktif dalam meningkatkan gaya hidup digital anda dan kami berhasrat untuk berbuat demikian dengan memastikan bahawa anda dilindungi di setiap sudut transaksi.”

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Nielsen tentang landskap pembayaran di Malaysia yang semakin berubah, 46% rakyat Malaysia bimbang tentang langkah keselamatan dan risiko penipuan berkaitan pembayaran digital.

Pengarah Urusan, Pengurusan Pelanggan – Zon Timur, The Nielsen Company, Arslan Ashraf berkata, “Kajian kami menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih memilih untuk membayar secara tunai bagi kebanyakan perbelanjaan harian seperti membeli barangan runcit atau makan di luar.

Bagi menggalakkan penggunaannya, penyedia perkhidmatan e-pembayaran perlu menangani isu keperluan ini, dan menyediakan untuk kaedah pembayaran yang mudah, di samping mengukuhkan keyakinan terhadap perlindungan dan keselamatan dompet digital.

Maklumat-maklumat yang diperolehi oleh Nielsen turut menunjukkan bahawa rakyat Malaysia takut menggunakan e-dompet kerana isu keselamatan membabitkan pembayaran dan maklumat perbankan, kebocoran data, serta ‘malware’ atau isu membabitkan perisian.

Dalam kalangan responden berkenaan, 38% rakyat Malaysia bimbang tentang kemungkinan kehilangan transaksi ketika membuat pembayaran digital. Sementara itu, 30% rakyat Malaysia was-was apabila menggunakan e-dompet kerana mereka takut telefon bimbit mereka mungkin dicuri untuk membuat pembelian.

Melihat kepada isu kebocoran data pula, 39% rakyat Malaysia bimbang maklumat
perbankan mereka mungkin dibocorkan kepada pihak ketiga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko TNG Digital Sdn Bhd, Teh Huey Tzi berkata, “Para pengguna hari ini mengharapkan kemudahan dan keselamatan seiring dengan pembayaran mudah alih dan itulah yang kita sediakan dengan Polisi Money-back Guarantee.

Selain daripada proses pengesahan dalam pelbagai peringkat, sistem kami turut menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) yang berupaya mengesan dan mengurangkan sebarang kemungkinan berlakunya aktiviti yang tidak sah.

Beliau berkata, “Untuk melayakkan diri untuk Polisi Money-back Guarantee, pertama sekali
pengguna perlu mengesahkan akaun eWallet mereka menerusi proses Pengesahan Akaun (proses eKYC).

Setelah akaun itu disahkan, perlindungan Money-back Guarantee akan diaktifkan di mana
satu ikon perisai perlindungan eWallet akan dipaparkan pada butang sunting (edit) profil pengguna.

Jika pengguna mendapati bahawa mereka telah dikenakan caj dengan transaksi tidak sah dalam akaun eWallet, mereka boleh klik pada ciri Money-back Guarantee dalam aplikasi kami.

Ciri berkenaan akan memaparkan satu borang di mana pengguna perlu mengisi butiran kes mereka dan menyertakan bukti resit atau dokumentasi yang berkaitan dengan transaksi tersebut.

Pasukan eWallet kemudiannya akan menyiasat dan jika tuntutan berkenaan terbukti sah, pengembalian wang akan diproses dan pembayaran balik akan dibuat dalam tempoh 5 hari bekerja.”

Setakat hari ini, Touch ‘n Go eWallet mempunyai lebih 4.2 juta pengguna dan lebih 50,000 lokasi penerimaan. eWallet dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan tahap pematuhan, tadbir urus korporat dan standard keselamatan tertinggi bagi memastikan transaksi yang berhemah serta selamat untuk para penggunanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini