Zakat merupakan rukun Islam ketiga yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam.

PENSYARIATAN zakat berperanan sebagai medium penyucian harta serta perkongsian kekayaan bagi mengukuhkan ekonomi umat Islam.

Agihan zakat disalurkan kepada lapan golongan asnaf yang telah ditetapkan oleh Allah SWT iaitu asnaf fakir, miskin, amil, mualaf, al-riqab, al-gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil (Surah al-Tawbah, 9: 60).

Gambar Hiasan

Setiap skim agihan yang disediakan kepada golongan asnaf zakat memainkan peranan penting dalam memastikan setiap keperluan asnaf dipenuhi dan bertepatan dengan syariat Islam.

Justeru, bagi memastikan setiap skim agihan zakat yang disediakan mencapai matlamat kewajipan dan hikmah berzakat, maka agihan zakat hendaklah dijalankan mengikut maqasid syariah berdasarkan keutamaan yang lima iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) telah diperkenalkan bagi menjaga kepentingan hak asasi manusia meliputi aspek sosial, ekonomi, dan alam sekitar.

Skim agihan zakat yang bertepatan dengan matlamat yang digariskan oleh SDG bukan sahaja dapat menjamin maslahah dan kepentingan penerima zakat, malah dapat menjadikan institusi zakat di Malaysia lebih unggul dan bertaraf dunia.

Oleh itu, pendekatan maqasid syariah dan SDG dalam setiap skim dan bentuk agihan yang disediakan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Perkara ini penting untuk memastikan setiap skim yang diperkenalkan selari dengan konsep maqasid syariah serta SDG yang mengutamakan maslahah dan kepentingan bagi sesuatu perkara.

Konsep maqasid syariah

Maqasid syariah didefinisikan sebagai “Matlamat yang ditentukan oleh Syariat untuk direalisasikan bagi faedah dan kepentingan manusia iaitu untuk menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan” (Ahmad al-Raisuni, 1995; Al-Shatibi, 1997).

Maqasid syariah melihat kepada perubahan nilai semasa, setempat, `urf dan maslahah seiring dalam proses pengeluaran ijtihad semasa kerana kejahilan memahaminya akan memberi impak negatif terhadap syariat Islam.

Syariat Islam bersifat dinamis dan fleksibel menyusun objektif syariah selari dengan keperluan dan kepentingan manusia sejagat berdasarkan kepada tiga tahap kepentingan iaitu al-daruriyyat, al-hajiyyat dan al-tahsiniyyat (Al-Shatibi, 1997).

Al-Daruriyyat: merupakan keperluan sesuatu maslahah yang diperlukan dan dihajati. Sekiranya tidak diambil perhatian, ia akan menghancurkan sistem kehidupan manusia secara keseluruhan.

Al-Hajiyyat: merupakan sesuatu objektif atau tujuan yang diperlukan untuk mencapai kelapangan dalam kehidupan, sekali gus menghilangkan kesempitan yang pada kebiasaannya membawa kesusahan. Al-Tahsiniyyat: merupakan usaha mencapai keperluan biasa dan kepentingan asas bersifat sebagai pelengkap kepada pencapaian hajiyyat dan daruriyyat. (Al-Ghazali, 1993).

Daruriyyat terdiri daripada perkara-perkara utama dalam agama yang digelar al-daruriyyat al-khamsah iaitu pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, dalam konteks agihan zakat kepada asnaf, setiap skim agihan yang disediakan perlu dinilai seiring dengan kehendak syarak yang menitikberatkan kemaslahatan dan keutamaan supaya dapat memenuhi setiap keperluan asnaf.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)

‘Lestari’ menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017) bermaksud “tidak berubah-ubah, kekal, tetap; melestarikan menetapkan, mengekalkan. Secara konseptual, idea kelestarian yang menyeluruh meliputi kelestarian sosial, persekitaran dan ekonomi.

Konsep kelestarian menurut Hasna (2007) ialah proses yang terus berterusan; digambarkan sebagai sebuah perjalanan yang sangat penting, tetapi hanya sebagai sasaran untuk sampai ke destinasi masa hadapan yang diingini.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) telah diperkenalkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB-UN) melalui usahasama global negara-negara anggota dalam bidang Pendidikan (E), Sains (S), Budaya dan Komunikasi (CO).

Dengan memperkenalkan 17 matlamat kelestarian global (rujuk Rajah 1), UNESCO berharap agar negara-negara anggota komited ke arah merealisasikan matlamat-matlamat tersebut menjelang 2030.

Notes: Taken from UNESCO’s website resources

Skim agihan zakat kepada asnaf

Pelbagai skim agihan zakat yang diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Pusat Zakat bagi membantu golongan asnaf.

Skim ini meliputi aspek kebajikan dan pembangunan asnaf seperti bantuan keperluan asasi, keperluan pendidikan, agama, perubatan, perumahan, modal perniagaan dan sebagainya.

Semua skim yang disediakan harus dinilai semula dalam memastikan ianya bertepatan dengan maqasid Syariah dan selari dengan SDG.

Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa kelima-lima prinsip dalam maqasid syariah memainkan peranan penting dalam mengukur keberkesanan sesuatu bantuan yang disalurkan dan meningkatkan kepercayaan dan pendirian asnaf terhadap agama Islam.

Manakala agenda SDG pula menggambarkan kepentingan keseimbangan dan keadilan yang perlu dicapai bagi merealisasikan skim agihan bantuan zakat asnaf yang bersifat dinamis dan global.

Penilaian semula skim agihan zakat asnaf berasaskan maqasid syariah dan SDG amat penting dan ia bertepatan bukan sahaja dengan prinsip yang digariskan dalam Islam, malah turut selari dengan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), sesuai dijadikan panduan dan rujukan kepada Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia dalam menentukan skim agihan zakat kepada asnaf.

Artikel ini sumbangan:

Prof. Madya Dr Azman Ab Rahman
Timbalan Pengarah
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia INFAD
Fakulti Syariah Dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
[email protected]