Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan kek, daripada beberapa hotel terkemuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

SEBANYAK 15 kek pelbagai bentuk dan warna, hasil kerja tangan chef tempatan dipersembahkan di Dewan Santapan Utama, Istana Negara di sini, semalam.

Turut hadir, anakanda Tengku Puteri Iman Afzan dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Atiyatullah.

Persembahan kek tersebut kepada baginda merupakan kali pertama sejak Sultan Abdullah dan Tunku Azizah secara rasminya menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada 31 Januari lalu.

Antara dipersembahkan ialah kek buah-buahan seberat 30kg daripada Hotel Palace of the Golden Horses yang menampilkan tenunan songket Pahang dan gading gajah serta lembing yang melambangkan kedaulatan Raja.

Chef pastri eksekutif hotel itu, Mohd Firdaus Ismail, 35, berkata kek buah-buahan tersebut mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

“Saya mendapat idea ini inspirasi daripada minat Raja Permaisuri Agong terhadap tenunan songket. Ini merupakan peluang keemasan untuk saya mempamerkan kreativiti saya kepada Agong dan Raja Permaisuri Agong dan saya bekerja siang dan malam selama seminggu untuk memberikan hasil terbaik,” katanya.

Sementara itu, chef pastri Hotel W Kuala Lumpur, Kevin Yong, 32, berkata beliau mengambil masa dua minggu bagi menyiapkan kek bertemakan ‘Kembali kepada Asas’, menggunakan bahan yang diperoleh dari Pahang seperti koko, halia.

“Kami gunakan koko dari Orang Asli Pahang named Semai. Kami juga campurkan dengan halia dari Bentong, durian dari Cameron Highlands, kacang dari Raub and gula Melaka.

“Kembali kepada komuniti tempatan amat penting dan menggunakan kandungan tempatan dan rasa juga boleh menghasilkan hasil yang baik dan berkualiti terbaik dengan persembahan gaya moden,” katanya.

Lain pula bagi chef Hotel Ramada Plaza, Melaka, Ramis Wazila Che Abdul Rahman, 41, yang menampilkan keunikan budaya Melaka dalam kek rekaannya, termasuk menggunakan bakul sia yang terkenal dalam budaya baba nyonya serta dodol dari negeri berkenaan.

“Memandangkan baginda menunjukkan minat terhadap barangan unik dan antik termasuk warisan Melaka, jadi saya hasilkan kek berdasarkan idea itu. Saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan kek seberat 38kg berperisa mentega badam pandan,” katanya. – Bernama

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini