NGO Antarabangsa menerima sebanyak 5 kotak kurma dengan setiap kotak seberat 30 kilogram
PENGERUSI dan Ketua NGO Antarabangsa menerima 5 kotak sumbangan kurma Ramadan dari Kedutaan Arab Saudi.

Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, sumbangan kurma itu amat besar ertinya kerana di Kemboja kesukaran untuk mendapatkan bekalan kurma amat dirasai sepanjang Ramadan ini.
“Sepanjang perjalanan saya di beberapa negeri dan daerah di Kemboja sepanjang Ramadan ini memang di masjid atau surau sukar untuk mendapatkan kurma.
“Jadi sumbangan ini dapat saya agihkan kepada masjid-masjid yang telah kita bina membabitkan lima buah masjid. Ini kerana masjid tersebut hidup dengan aktiviti sepanjang malam bulan ramadan apa lagi pada 10 malam terakhir dengan sebahagian dari penduduk duduk di masjid,” katanya.
Beliau berkata, kurma itu dihantar melalui penerbangan kargo bagi diagih-agihkan segera untuk kegunaan para jemaah masjid khususnya di kawasan pedalaman bermula di Kg Pak Phou, Kg View, Kg Kabai, Kg Thmer dan beberapa lagi.
Katanya, sumbangan ini bagi mereka dapat merasai nikmat buah kurma ini dan pihaknya bersyukur kerana mendapat sumbangan dari kerajaan Arab Saudi.
“Kemboja tidak mempunyai Kedutaan Arab Saudi dan selaku rakyat Malaysia, saya sentiasa mengharapkan sokongan dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk membantu rakyat Kemboja yang serba kekurangan,” katanya.