Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem Tempat Ibadat – Siri II; pada Sabtu, 11 Mei 2019 di semua negeri, manakala peminat setem di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor boleh mendapatkan koleksi ini pada Ahad, 12 Mei 2019.

LIMA setem dengan nilai muka 80sen setiap satu dihasilkan bagi siri ini. Antara rumah-rumah ibadat yang diketengahkan untuk siri ini adalah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Kelantan), Tokong Hong San Si (Sarawak), Sri Karthivel Murugan Maha Parasakthi Patchai Amman (Perak), Gereja St. George (Pulau Pinang) dan Gurdwara Sahib (Wilayah Persekutuan Labuan).

“Rumah ibadat dipilih untuk dipaparkan pada siri setem kali ini untuk mengetengahkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian ras, agama serta kebudayaan yang hidup secara harmoni, dan pada masa sama memaparkan keunikan senibina dan sejarah tempat-tempat tersebut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.

Sejumlah 1,000,000 keping setem dikeluarkan untuk siri kali ini. Lima helaian setem (200,000 keping setiap reka bentuk) bernilai RM80.00 setiap satu dan setiap helaian mengandungi 20 keping setem.

Untuk melengkapkan lagi siri setem ini, Pos Malaysia turut menghasilkan produk philateli lain seperti 27,000 keping Sampul Hari Pertama (FDC) yang didatangkan bersama brosur percuma bernilai RM4.50 setiap satu, manakala 1,600 keping folder siri ini boleh didapati pada harga RM6.00 setiap satu.

Set folder lengkap dijual pada harga RM90.50 setiap satu dan cap tarikh khas untuk siri ini berupa lima kubah rumah-rumah ibadat. Pos Malaysia pernah mengeluarkan siri setem tema yang sama pada 2016 bertajuk “Tempat Ibadat”; serta “Masjid di Malaysia” pada 2015 sempena memperingati ulang tahun ke-50 Masjid Negara.

Siri lengkap yang didatangkan dalam set folder berserta helaian setem dan Sampul Hari Pertama (FDC) boleh dibeli menerusi www.eziemall.com atau secara terus daripada cawangan-cawangan Pos Malaysia terdekat atau Galeri Setem di tingkat dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur.

Para pengumpul setem serta orang ramai digalakkan untuk membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) kerana ia memberikan kemudahan kepada pengumpul setem untuk membeli setem keluaran baharu pada hari pertama dan produk filateli tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari jualan.

Individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara atau menerusi dalam talian di www.posonline.com.my.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini