Usaha sukarelawan ini harus diberikan pujian kerana mereka tidak pernah berasa penat atau berputus ada untuk melihat kejayaan anak bangsa.
SUKARELAWAN yang terdiri daripada kalangan ibu bapa dan guru ini bersama-sama mengadakan satu program Bahasa Inggeris (Say It Right) yang menfokuskan kepada “Public Speaking” dengan kerjasama pihak Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buaya dan PIBG sekolah.
Program ini diadakan setiap hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi ini mensasarkan seramai 50 orang pelajar dari Tahap 1 iaitu berumur antara 7 hingga 9 tahun. Sesi pertama telah diadakan pada 6 April, 2019 lalu di sekolah berkenaan.
Pengasas program SIR, Mimi Azrin dan Pengasas Bersama Syariza Annur serta Muhamad Ikhwan Akmal berkata, program kali ini berlangsung selama empat bulan bermula dari April hingga Julai 2019.
Beliau berkata, pelajar akan didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang berkait rapat dengan pengucapan awam seperti ucapan, drama, rancangan temu bual dan banyak lagi.
Menurutnya, setiap para pelajar akan dinilai sepanjang mereka mengikuti progam tersebut untuk menentukan persembahan yang sesuai di akhir program.
“Persembahan akhir untuk program ini akan diadakan sekitar Ogos 2019 dan para pelajar diharapkan dapat mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari dan dapat menyampaikan persembahan dengan baik,” katanya di Bandar Baru Sungai Buaya, baru-baru ini.
Selain itu, ibubapa juga akan dijemput untuk menyaksikan persembahan itu nanti.