Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan edisi keempat setem “Destinasi Pelancongan” yang menampilkan khazanah-khazanah serta destinasi-destinasi pelancongan popular di Melaka dan Sarawak pada Jumaat, 15 Mac 2019 di seluruh negara.
BAGI peminat setem di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, setem ini boleh didapati pada hari Ahad, 17 Mac 2019.

“Siri setem ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk memperkenalkan kebudayaan serta warisan yang sinonim dengan negeri Melaka dan Sarawak. Pada masa yang sama, kami berharap siri ini akan turut menjadi alat pembelajaran bagi generasi muda pengumpul setem seluruh negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.
Dua setem dengan nilai muka 60sen setiap satu dihasilkan bagi kedua-dua negeri tersebut. Antara lokasi yang dipaparkan pada setem negeri Melaka adalah Rumah Melaka dan Galeri Demang Abdul Ghani serta Rumah Ibu, Tiang Seri dan Tembikar Seramik.

Sementara itu, Rumah Melanau, Tarian Alu-Alu serta Kampung Budaya Sarawak, dan Kain Pua Kumbu, kain tradisi tenunan kaum Iban serta Tajau atau pasu dicetak pada setem negeri Sarawak.
Bagi siri ini, hanya 800,000 keping (400,000 keping bagi setiap negeri) setem sepasang dihasilkan. Untuk melengkapkan siri ini, Pos Malaysia turut menghasilkan 25,000 keping Lembaran Mini (MS), yang mengandungi dua keping setem, dengan nilai muka RM2.00 setiap satu.

Ia menampilkan imej Muzium Maritim Melaka dan Pelayaran Sungai Melaka dan Astana Sarawak serta Pelayaran Sungai Sarawak. MS ini dijual pada harga RM4.00 setiap satu. Cap tarikh khas bagi siri ini menampilkan Tangga Melaka dan Burung Enggang.
Produk filateli lain yang turut dijual adalah 30,000 keping Sampul Hari Pertama (FDC) dengan risalah percuma dijual pada harga 50sen setiap satu, manakala 1,800 keping folder boleh didapati pada harga RM6.00 setiap satu. Set lengkap siri setem ini dijual pada harga RM41.40 setiap satu.

Terdahulu, Pos Malaysia mengeluarkan Siri Destinasi Pelancongan dan antaranya termasuklah Siri Destinasi Pelancongan (Kedah & Kelantan) pada Julai 2016, Siri Destinasi Pelancongan (Pahang, Perak, Terenganu) pada November 2017 serta Siri Destinasi Pelancongan (Sabah) pada Jun 2018.
Syed Najib turut menggalakkan pengumpul setem untuk membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) kerana ia memberikan kemudahan kepada pengumpul setem untuk membeli setem keluaran baharu pada hari pertama dan produk filateli tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari jualan.
Individu yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara atau menerusi dalam talian di www.posonline.com.my.
Set lengkap ini turut boleh didapati di www.eziemall.com atau kunjungi pejabat pos terdekat atau Galeri Setem di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur. Sebagai alternatif, hubungi Unit Setem dan Filateli di talian 03-2267 2267 (sambungan 2000) atau e-melkan pertanyaan kepada [email protected].