Jika anda sudah biasa melihat kelibat Volkswagen Golf GTI di jalan raya, model kereta ini kini hadir dengan rekaan yang lebih garang. Baca lebih lanjut sesi pandu uji.
LENCANA GTI tidak perlu diperkenalkan lagi. Lambang itu sudah cukup sinonim bagi Volkswagen Golf sebagai sebuah kereta berprestasi tinggi sesuai dengan status lagenda sebagaimana model Beetle.
Kehadiran model kompak, Volkswagen Golf GTI facelift 2018 versi Mk7.5 menawarkan beberapa perincian yang lebih kemas pada bahagian luaran dan dalaman serta pada masa sama kekal dengan imej ‘garang’.
Maka tidak hairanlah, setiap kali model ini meluncur laju di jalan raya, pastinya mencuri perhatian mana-mana kereta sekelas dengannya yang mahu ‘menguji’ ketangkasannya.
Prebiu.com sendiri merasai ‘kegilaan’ memandu Golf GTI ini sentiasa menaikkan ledakan adrenalin sebaik saja pedal minyaknya ditekan disebabkan enjin hot-hatch ini memberikan tahap respon yang cukup pantas menerusi kotak gear DSG 6-kelajuan yang dipadankan.
Pertukaran gear cukup responsif dan lancar meskipun ketika mod pemanduan jenis Eco digunakan malah untuk mencapai kelajuan 170kmj cukup mudah, begitu juga jika mahu memotong kenderaan dihadapan.
Jika mahukan lebih prestasi, tukar sahaja kepada mod sport pada skrin selepas menekan butang berhampiran gear atau tolak sedikit sahaja gear ke belakang ketika berada pada kedudukan gear D. Petunjuk pada paparan meter pada sebelah kiri akan bertukar kepada S.
Sebaik saja bertukar kepada mod S, karektor ini terus berubah menjadi lincah seperti sebuah kereta lumba di litar Sepang dengan bunyi deruman ekzos yang cukup mengasyikkan.
Bercerita mengenai warna merah, ia seakan menjadi warna rasmi GTI kerana hampir keseluruhan kekemasan dalamannya menerima sentuhan warna merah daripada jalur benang pada kerusi hingga kepada jalur lampu led menghiasi pintu, stereng dan tombol gear.
Pada bahagian luaran, jalur merah yang memanjang dapat dilihat jelas pada bahagian gril hadapan, pelapik brek dan logo GTI di kiri dan kanan fender hadapan.
Volkswagen Golf GTI masih dijana enjin EA 288 2.0 liter TSI berkuasa 230 PS/350 Nm, atau 10 PS lebih berkuasa daripada model asal.
Antara perbezaan jelas model 2018 ini dengan versi terdahulu, ia dilengkapi dengan lampu LED Advance Adaptive (menggantikan lampu b-xenon) yang turut datang dengan fungsi bantuan lampu dinamik.
Paling menarik ialah lampu isyarat membelok dinamik atau bahasa mudah ‘lampu berekor’ cukup jelas kelihatan pada waktu malam mahupun siang manakala lampu belakangnya adalah LED-penuh.
Ciri lain ialah padanan kerusi balutan kulit Vienna, rim aloi 18-inci Milton Keynes, Adaptive Chassis Control (ACC), sistem pendingin hawa automatik dua-zon climatronic Air Care, dan juga kluster paparan Active Info Display bersaiz 12.3-inci dengan butang kawalan pada stereng.
Sebagaimana kereta buatan Jerman lain, Golf GTI ini menggunakan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kabus hadapan dan belakang, penukar profil pemandu, kawalan cruise serta lampu hadapan dan pengelap cermin automatik.
Sebagaimana sifat GTI sebenar, ia dipadankan dengan roda stereng sport tiga jejari bersama pedal penukar gear manual enam kelajuan, pedal aluminium, plat berhampiran pintu yang bernyala dan juga ekzos krom berkembar.
Sistem infotaimen Discover Media hadir dengan skrin utama 8.0 inci boleh dihubungkan dengan Bluetooth, kad SD, USB, AUX serta fungsi navigasi dan bantuan parkir bersama kamera pandang belakang.
Turut disertakan sistem aplikasi App-Connect yang memberikan fungsi padanan skrin menerusi Apple CarPlay, Android Auto dan Mirrorlink.
Sistem keselamatan untuk model ini sama seperti model Sportsline dan dilengkapi tujuh beg udara, ESC serta Proactive Occupant Protection System.
7 Ciri Menarik Golf GTI
- Bilah udara pada bampar depan bercat hitam
- Rekaan jalur pada logo GTI pada fender
- Kemasan strip merah GTI sepanjang gril depan
- Rim aloi ‘Milton Keynes’ 18 inci
- Ekzos berkembar
- 5 pilihan mod pemanduan
- Lampu isyarat belakang dinamik
Secara keseluruhannya, kereta ini cukup bersedia meratah laluan berselekoh tanpa rasa olengan dan sesuai dipandu sebagai kenderaan harian mahupun hujung minggu.
Sebenarnya, memandu Golf GTI ini sudah memadai apatah lagi pada tanda harga lebih RM200,000 dan tidak salah jika anda mampu memiliki Golf versi R yang lebih mahal pada tanda harga hampir RM300,000.
Cuma apa yang membezakan GTI dan Golf R ialah enjin 2.0TSI pengecas turbo dipadankan dengan kotak gear automatik 7 kelajuan DSG yang menjanjikan output mengagumkan, 288hp dan tork 380Nm.
Volkswagen Golf GTI 2018 dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM239,990. Setiap pembelian model ini akan disertakan dengan waranti selama lima tahun bersama bantuan tepi jalan juga selama lima tahun, serta servis percuma 45,000km/tiga tahun.