In one kilometer please drive carefully……in 500 meter please drive carefully….. Wow! Kereta ini bercakap sendiri. Hebat bukan! Baca lebih lanjut pandu uji model terbaru Mercedes-Benz A250 AMG Line ini.

APABILA membayangkan kehebatan kereta ini boleh bercakap sendiri mengingatkan penulis kepada drama penyiasatan bersiri terkenal era 80-an dan 90-an Knight Rider lakonan David Hasselhoff yang ketika itu memandu kereta jenis Pontiac Firebird 1982.

Apa yang penulis maksudkan ialah sistem kawalan suara Linguatronic kereta ini berfungsi seakan bantuan Siri pada telefon pintar iPhone yang berinteraksi dengan pemandu sebaik saja kita menyebut perkataan ‘Hi Mercedes’.

Apabila menggunakan kata ‘Hi Mercedes’ ini, pemandu atau sesiapa saja dalam kereta itu boleh mengawal pelbagai fungsi kenderaan seperti pendingin hawa, radio dan navigasi. Inilah ciri sebenar teknologi Artificial Intelligence (AI) yang kini meluas digunakan dalam produk elektronik khususnya telefon pintar.

Sistem pintar AI ini boleh mengenal bahasa percakapan biasa misalnya jika anda menyebut ‘Please switch on the aircond’ ia akan menghidupkan pendingin hawa. Begitu juga jika anda mahu mengubah warna lampu dalaman kereta ini.

Sistem AI yang digabungkan dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) ini sebenarnya menjadikan kereta ini lebih pintar kerana ia mampu mengingati lagu kegemaran anda atau laluan ke tempat kerja. Berdasarkan kepada perlakuan anda, sistem ini akan memaparkan stesen radio kegemaran anda yang akan terus dipaparkan sebagai pilihan utama.

Sebenarnya memasuki ruang kokpit A250 ini sudah cukup mengujakan apatah lagi melihat kepada paparan skrin LED yang menghiasi papan pemuka seakan sebuah mini pawagam sekali gus mencerminkan gaya premium sebuah model kompak hatchback bertaraf lima bintang.

Untuk mengawal kesemua ciri pada panel itu hanya gunakan touch pad pada stereng atau terus tekan menggunakan jari pada skrin sesentuh itu seakan ciri sebuah telefon pintar. Sebuah pad sesentuh (touch pad) di tengah kokpit juga boleh digunakan sama ada oleh pemandu atau penumpang hadapan.

Jika anda mahukan bantuan navigasi minta sahaja dan sistem pintar kereta ini cuba membantu anda membawa ke destinasi yang mahu ditujui. Semuanya akan terpampang jelas pada panel skrin bersaiz 10.25 inci yang kelihatan cukup canggih dan moden.

Berbanding model terdahulu yang menggunakan paparan meter tradisional, Mercedes-Benz A Class kali ini dipadankan dengan dua panel skrin yang masing-masing boleh dikawal mudah pada butang kawalan di stereng yang cukup mengujakan.

Paparan panel skrin dihadapan stereng akan memaparkan apa saja maklumat berkaitan kereta ini sama ada tahap penjimatan minyak, jarak perjalanan dan tukaran gear. Panel skrin ditengah kokpit pemandu pula menunjukkan pilihan stesen radio dan pilihan mod pemanduan.

Kesemua paparan grafik ini boleh diubah mengikut citarasa dan ini memperlihatkan kesungguhan pengeluar kenderaan dari Jerman ini menonjolkan kemodenan teknologi dalam bidang automotif sekali gus menjadi kelebihan kepada pesaingnya.

Selain ruang dalaman yang mewah dengan jalur benang merah serta logo AMG memperlihatkan kepada perincian yang mahu ditonjolkan pada sebuah hatchback buatan Jerman ini.

Ketika ini, hatchback premium ini ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progressive Line dan A 250 AMG Line, dengan harga masing-masing RM227,888 dan RM263,888 (atas jalan termasuk SST, tanpa insurans).

Prebiu.com yang diberi kesempatan memandu uji varian A 250 AMG Line dapat melihat sendiri karektor kereta ini cukup sesuai dipandu golongan muda yang memiliki kerjaya yang hebat.

Sekali imbas, saiz luarannya hampir sama dengan model terdahulu tetapi nampak lebih lebar apabila reka bentuk kontur badannya yang lebih lembut dan aerodinamik.

Model ini dibina menggunakan platform Modular Front Architecture 2 (MFA2) yang memiliki ukuran 4,419 mm panjang, 1,796 mm lebar dan 1,440 mm tinggi.

Jarak rodanya juga 30 mm lebih panjang dan ini menawarkan ruang kepala, bahu dan siku lebih luas, serta akses lebih mudah ke tempat duduk belakang serta ruang simpanan 29 liter lebih besar (370 liter).

7 Ciri Menarik A250 AMG Line

  • Sistem kawalan suara Linguatronic
  • Pad sesentuh dan skrin sesentuh
  • Dua panel skrin bersaiz 10.25 inci
  • Bantuan lampu adaptif
  • Tempat duduk sport
  • Lampu suasana 64 warna
  • 4 pilihan mod pemanduan

Terdapat empat pilihan mod pemanduan bagi generasi terkini A 250 iaitu eco, comfort, sport dan individual manakala lampu hadapan lebih runcing dan gril bentuk trapezoid serta logo besar bintang ditengah-tengah memberikan imej garang.

Rekaan hud belakang pula tampil dengan lampu LED rekaan baru yang lebih panjang sekali gus tampil cukup sporty sesuai dengan ciri sebuah kereta kompak.

Padanan dua muncung ekzos di belakang dan rim 18 inci lima cabang bagi varian A 250 menerima pakej luar AMG Line dengan bampar dan side skirt yang lebih agresif, serta rim AMG.

Kekemasan ruang dalaman boleh diberikan pujian kerana A 250 mendapat tempat duduk sport dengan penyandar kepala bersepadu, roda stereng yang dibalut kulit Nappa, hiasan aluminium serta balutan kulit Artico dan gentian mikro Dinamica.

Sistem kemasukan tanpa kunci serta sistem pendingin hawa automatik satu zon dengan corong berbentuk turbin menjadi pelengkap manakala sistem pelarasan tempat duduk hadapan elektronik dengan fungsi memori adalah satu kelebihan.

Ciri lain ialah cermin sisi boleh malap dan terlipat sendiri, kawalan cruise, lampu suasana 64 warna, plet tepi pintu berlampu, navigasi berasaskan hard-disk serta fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Nadi kepada jantung A 250 ini menggunakan enjin 2.0 liter M260 yang sama sebelum ini tetapi dipertingkatkan untuk menghasilkan kuasa 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm.

Maka tidak hairanlah sekali tekan pedal minyak, kereta merah ini boleh memecut dari keadaan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan penggunaan bahan api 6.2 l/100 km. Transmisi tujuh kelajuan model ini juga telah dipertingkat, menggunakan unit DCT Mercedes sendiri.

Varian A-Class ini didatangkan dengan suspensi untuk keselesaan, dengan penyerap pasif dan kedudukan 15 mm lebih rendah daripada biasa dan A250 adalah satu-satunya varian yang datang dengan suspensi belakang multilink.

Bagi aspek keselamatan, model ini dipadankan tujuh beg udara, Active Brake Assist (brek kecemasan autonomous), sistem pemerhati tekanan angin tayar dan Active Parking Assist dengan kamera undur.

Menarik mengenai sistem brek kecemasan autonomous ialah fungsi breknya bertindak secara automatik memperlahankan kenderaan atau membrek secara paksa jika kenderaan anda dipandu terlalu dekat dengan kereta hadapan.

Pemandu akan mendengar bunyi amaran dan lampu amaran berbentuk tiga segi akan dipaparkan terus pada skrin sebagai peringkatan.

Sebenarnya banyak hendak diperkatakan mengenai ciri pintar Mercedes-Benz A250 AMG Line ini. Jika anda seorang peminat tegar kereta buatan Jerman, model ini mungkin boleh menjadi pilihan kerana ciri yang ditawarkan adalah ciri kereta masa depan.

Maka tidak hairanlah ketika kereta ini pandu di lebuh raya, ada kalanya model yang menjadi pesaingnya turut mencuba mengekori rapat dibelakang untuk menguji kehebatannya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini