Seramai 30 orang pengayuh basikal menyalurkan sumbangan kepada penduduk orang Asli dari kalangan anak-anak berumur 4 tahun, sekolah rendah dan menengah serta berkeluarga yang menetap di Bukit Bandaraya U11 Shah Alam melalui program Kayuhan Amal PESCA PREC 2018.

PROGRAM anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi PREC (PKNS Real Estate Sdn Bhd) iaitu PESCA merupakan julung kali diadakan bertujuan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan selain menyemai semangat kesukanan, kerjasama dan rasa syukur di kalangan ahli kelab tersebut.

Gimik penyerahan sumbangan kepada Tok Batin berjumlah RM22.000 itu telah disampaikan secara wang tunai kepada 55 buah keluarga orang asli bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

Acara pelepasan Kayuhan Amal PESCA 2018 yang dilancarkan oleh Pengurus Besar Pengurusan Fasiliti dan Hartanah, Yusri Abdul Manaf dengan penglibatan daripada 30 peserta kayuhan dari kalangan ahli PESCA diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PREC iaitu Fakru Radzi Ab Ghani.

Pengerusi PESCA, Syahril Mohd Rashid berkata, kelab PESCA sentiasa proaktif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti sukan seperti ‘water rafting’, mendaki gunung, ATV, futsal, badminton, pingpong dan penglibatan dalam kejohanan sukan olahraga anjuran Kelab Sukan PKNS.

Aktiviti berbasikal ini tidak dapat dinafikan ianya antara aktviti yang dinanti-nantikan oleh ahli mereka selain dapat menguji ketahanan fizikal dan mental di samping beriadah bersama ahli PESCA yang lain.

“Selain daripada aktiviti sukan dan riadah, PESCA juga menitikberatkan hal ehwal berkaitan kebajikan. Inisiatif tanggungjawab sosial korporat seperti ini dapat memberi pengisian yang baik buat ahli-ahli PESCA di samping meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan,”ujarnya.

“Program ini adalah salah satu daya usaha untuk kami memberikan bantuan kepada anak-anak orang asli yang bakal memulakan sesi persekolahan pada tahun 2019. Jenama pasaraya Billion di Kompleks PKNS Bangi turut memberikan kerjasama dalam pembungkusan penyediaan kelengkapan seperti uniform sekolah, alat tulis, dan sebagainya,” katanya.

“Konvoi berbasikal sejauh 6 kilometer tersebut turut diiringi oleh dua orang pegawai polis trafik, bantuan dari RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Laluan para pengayuh basikal boleh dikatakan agak mencabar dengan kawasan yang berbukit terutama sekali di Persiaran Dato Menteri iaitu laluan ke rumah Dato’ Menteri Besar Selangor,” katanya.

Menurutnya, program ini juga telah mendapat sokongan dan penajaan daripada PREC sendiri dan syarikat-syarikat luar seperti Limok Events, Innoart, Antara Bumi Resources, Purple Box Sdn Bhd, Mindalova Kreatif, Hasa Arkitek Sdn Bhd, Wan Home & Design, WRS Engineers Sdn Bhd, First Power Engineering & Services Sdn Bhd, Magenta Harmon Technologies Sdn Bhd tidak ketinggalan anak syarikat PREC iaitu Park Here Sdn Bhd.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini