Warna kereta ini sudah cukup menjadi tarikan setiap kali ia lalu didepan mata yang memandangnya. Begitulah kuatnya aura Volkswagen Golf R-Line. Baca lebih lanjut pandu uji Prebiu.com

PADA Mac tahun ini, lengkap sudah kamus Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) apabila memperkenalkan versi facelift bagi hatchback ikonik generasi ketujuh Volkswagen Golf.

Barisan kenderaan kompak berprestasi tinggi dan digeruni atau lebih dikenali sebagai Golf Mk7.5 di jalan raya ini menawarkan tiga varian berbeza iaitu enjin 1.4 TSI untuk versi asas Sportline dan R-Line, versi berprestasi tinggi Golf GTI, dan model paling berkuasa Golf R.

Sebenarnya tidak sukar untuk membezakan ketiga-tiga varian ini secara pandangan mata kasar meskipun rekabentuk luarannya pada asasnya hampir sama. Anda hanya perlu melihat kepada emblem yang tertera di hadapan atau belakang model hatchback Golf ini sama ada ianya R-Line, GTI atau Golf R.

Prebiu.com yang berkesempatan memandu uji model varian 1.4 TSI R-Line berwarna Turmeric Yellow atau dalam bahasa mudah warna Kuning Kunyit ini cukup mudah mendapat perhatian umum.

Panahan lampu nyalaan siang LED dari jauh yang cukup terang menyebabkan beberapa kenderaan memberi laluan apabila Golf R-Line ini membelah lebuh raya seakan mengerti kekuatan yang terserlah pada model ini.

Sekilas pandang, model ini yang dilengkapi kit badan lebih sporty seakan model paling berkuasa Golf R yang pernah dipandu uji di litar Sepang sebelum ini. Cuma membezakannya ialah logo R-Line pada gril hadapan.

Antara kit yang dipadankan pada model ini seoalah menampakkan ia seakan Golf R ialah lampu hadapan LED adaptif, bampar hadapan dan belakang serta diffuser belakang yang turut menempatkan ekzos trapezoid dengan kemasan krom.

Model ini turut dilengkapi set rim aloi jenis Singapore bersaiz 17-inci dengan tayar bersaiz 225/45R17 dan untuk tampil lebih garang, warna kuning kunyit (Tumeric) ditawarkan khusus untuk varian ini sekali gus menampilkan identiti berbeza R-Line.

Sepadan dengan nama gah VW Golf ini maka tidak lengkap jika enjin berkuasa 1.4L suntikan terus turbo (TSI), keupayaannya setanding enjin berkuasa 2.0L dan responsif pada sebarang kelajuan.

Memiliki kotak gear tujuh kelajuan Direct Shift Gear (DSG) menjanjikan kuasa kuda 150PS dan daya kilas mencecah 250Nm pada 1,500 hingga 3,500rpm.

Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 216 km/j dan turut dipadankan dengan sistem Kunci Perbezaan Elektronik Termaju (electronic differential lock) Volkswagen XDS.

Meskipun ditetapkan pada pilihan mod pemanduan dan fungsi Eco menjadikan Golf R-Line bukan saja berprestasi, malah penggunaan bahan api efisien dengan satu tangki penuh membolehkan jarak pemanduan melebihi 600 kilometer (km) bergantung kepada corak pemanduan.

7 Ciri Menarik Golf R-Line

  • Lampu hadapan penuh LED dengan lampu nyalaan siang LED
  • Sistem tanpa kunci ‘KESSY’
  • Paparan info aktif definisi tinggi bersaiz 12.3 inci
  • Brek parkir elektronik dengan fungsi auto-hold
  • Sistem Kunci Perbezaan Elektronik Termaju (XDS)
  • Pilihan mod pemanduan dengan fungsi Eco, Normal, Sport, Individu
  • 6 pilihan warna, Turmeric Yellow, Atlantic Blue, Pure White, Deep Black, White Silver & Indium Grey

Golf R-Line dilengkapi tujuh beg udara, pengendalian membrek yang akan membrek secara automatik sebaik mengesan objek di hadapan pada kelajuan 10 kilometer sejam (km/j), Sistem Brek Automatik Pasca Pelanggaran, Bantuan Rehat dan Sistem Perlindungan Penumpang Proaktif.

Justeru, memandu model ini bukan sahaja memberikan kepuasan dalam pemanduan malah memberikan keyakinan tinggi kerana dilengkapi pelbagai ciri keselamatan sepadan dengan harga jentera buatan Jerman ini.

Meninjau pada bahagian kabin pula, Golf R-Line ini diberikan paparan informasi digital sepenuhnya Active Info Display bersaiz 12.3-inci dan skrin infotainmen 8.0-inci Composition Media dengan fungsi App-Connect yang menyokong Apple CarPlay, Android Auto serta MirrorLink.

Ia juga menerima kerusi balutan kulit premium Vienna bersama sulaman Logo R-Line pada perehat kepala tempat duduk hadapan menyerlahkan identiti varian ini manakala kerusi belakang boleh direbah menjadikan nisbah 60:40 bagi membawa lebih barangan.

Ciri lain untuk keselesaan ialah sistem pendingin hawa dua-zon Climatronic, kamera undur, sistem kemasukan tanpa kunci (KESSY), brek parkir elektronik serta pilihan empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Individual.

Secara kesimpulannya, model Golf R-Line ini sesuai untuk pemandu yang mahukan sebuah jentera yang sporty tetapi pada masa sama prestasi enjin seperti model berkuasa 2.0 Liter. Sesuai dengan citarasa orang muda atau tidak kira apa jua ‘usia’ model ini mampu ‘meratah’ mana-mana jentera sebarisnya dengan mudah di jalan raya.

Jika tidak mampu memiliki Golf GTI atau R yang berharga lebih RM200,000, mungkin boleh ini boleh menjadi pilihan untuk berjinak-jinak dengan jentera varian Golf ini pada tanda harga jualan RM173,390 tanpa insurans.

Setiap pembelian Golf R-Line ini akan disertakan dengan waranti selama lima tahun bersama bantuan di jalan raya lima tahun, serta servis percuma 45,000km/tiga tahun.

VOLKSWAGEN GOLF R-LINE

SPESIFIKASI

• ENJIN: 1,395cc empat silinder pengecas turbo suntikan terus (TSI)

• KUASA MAKSIMUM: 150PS @ 5,000-6,000rpm

• TORK MAKSIMUM: 250Nm @ 1,500-6,000rpm

• KAPASITI BAHAN API: 50 liter

• CIRI KESELAMATAN: 7 beg udara, ESC, ABS, ISOFIX, Bantu Rehat, XDS dan Sistem Perlindungan Penumpang Proaktif.

• HARGA: RM173,390 (tanpa insurans)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini