Bayangkan anda memarkir kereta di tempat terbuka yang terdedah kepada sinaran matahari yang panas terik, berapa lamakah masa diperlukan untuk sistem pendingin hawa menyejukkan udara dalam kereta anda?

ANDA pula tidak berasa selesa apabila memasuki kereta dalam keadaan panas kerana terpaksa menunggu beberapa minit untuk memastikan sistem pendingin hawa berfungsi pada tahap maksimum.

Bagaimanapun, masalah ini mungkin tidak timbul bagi mereka yang menjadi pemilik baru Honda Civic generasi ke-10 yang dilancarkan di negara ini pada tahun lalu.

Ini kerana sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin yang dikawal menerusi sistem kawalan jauh membolehkan pemilik kereta ini menghidupkan enjin kereta dari jarak kira-kira 40 meter tanpa perlu membuka pintu sekali gus sistem pendingin hawa berfungsi sepenuhnya.

Namun, anda tidak perlu bimbang meskipun enjinnya dihidupkan, sistem penggera keselamatan kereta ini tidak membenarkan sesiapapun memasuki kereta ini melainkan pemiliknya sendiri yang mengawal kunci pintarnya.

Bagaimana sistem pendingin hawa ini berfungsi?

  1. Pendingin hawa kereta ini akan dihidupkan selama 10 minit sebaik sahaja butang kawalan jauh ditekan
  2. Sekiranya selepas 10 minit anda tidak memasuki kereta ini, secara automatik enjin akan mati sendiri
  3. Anda juga boleh memilih untuk menekan semula butang hidupkan enjin untuk mematikan enjin secara jauh
  4. Untuk memastikan sistem pendingin hawa ini berfungsi, anda tidak harus menekan butang tutup pendingin hawa apabila enjin dimatikan tetapi menyelaraskannya pada tahap yang dikehendaki
  5. Apabila menghampiri kereta, buka pintu kereta dan tekan butang penghidup enjin untuk menghidupkan enjin
  6. Kereta kini bersedia untuk bergerak dalam keadaan pendingin hawa sudah dihidupkan lebih awal sebelum anda memasuki kereta ini, HEBAT BOH!

Ciri baru yang diperkenalkan Honda bagi model Civic dianggap sebagai perintis dalam teknologi dunia permotoran di negara ini dan mungkin boleh dicontohi pengeluar automotif lain kerana kita sedia maklum mengenai cuaca panas Malaysia.

Selain butang buka dan tutup serta butang menghidupkan suis, Honda Civic juga menyediakan butang untuk membuka but kereta dari jauh.

Semua fungsi kunci pintar ini adalah ciri standard bagi semua varian yang ditawarkan oleh Honda Malaysia Sdn Bhd.

Penulis yang berpeluang memandu uji model Honda Civic 1.5 liter VTEC Turbo ini kagum dengan ciri pintar ditawarkan malah sistem kawalan pintunya akan ditutup secara automatik dalam beberapa saat sebaik sahaja penulis keluar dari kereta tanpa perlu menekan apa-apa butang pun.

Sebenarnya, semua ciri pintar ini boleh dikawal atau ditetapkan pada paparan skrin sesentuh yang terletak pada bahagian tengah papan pemuka kereta ini.

Anda juga boleh mengawal tempoh masa untuk membiarkan lampu hadapan menyala sama ada 15 saat ataupun 30 saat selepas keluar dari kereta, begitu juga bagi warna yang mahu digunakan pada paparan skrin.

Pelbagai ciri tetapan boleh dilakukan mengikut keselesaan anda termasuk menghubungkan dengan telefon pintar sama ada menggunakan platform Android atau iOS.

Ketika ini, di pasaran sebanyak tiga varian diperkenalkan iaitu dua varian tertinggi yang menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan varian paling rendah 1.8S. Namun, varian paling laris ialah 1.5 liter VTEC Turbo yang mana tahap kuasa enjinnya hampir menyamai enjin berkuasa 2.4 liter.

Honda Civic 1.5 TC
Harga runcit tanpa insurans RM120,855.00
Honda Civic 1.5 TC-Premium
Harga runcit tanpa insurans RM128,631.00
Honda Civic 1.8 S
Harga runcit tanpa insurans RM108,165.00

 

Jika dilihat pada bahagian luaran, model ini diberikan lampu hadapan LED sepenuhnya dan lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus diberikan secara standard.

Ia juga dilengkapi dengan rim aloi 17-inci dua tona dan emblem VTEC Turbo diletakkan pada sisi kanan belakang membezakan model ini dengan model 1.8 Liter. Selain itu, dua peredam ekzos dipadankan pada model berkuasa 1.5 VTEC Turbo ini.

Melangkah ke ruang kabin, model 1.5 T dipadankan dengan kerusi saduran kulit dan paparan instrumen dengan skrin LCD berwarna sepenuhya, menampilkan takometer, speedometer, dan juga informasi lain dalam bentuk digital.

Papan pemuka juga diberikan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci untuk sistem infotaimen Honda Display Audio dan turut berfungsi sebagai paparan kamera undur serta kawalan pendingin hawa dua zon.

Untuk mengawal tahap bunyi audio, anda hanya perlu meleretkan ibu jari dari atas ke bawah tanpa perlu menekan tanda + atau -.

Ciri standard lain ditampilkan pada varian ini termasuk brek parkir elektronik (dengan fungsi auto brake hold), corong pendingin hawa belakang, tempat duduk hadapan pelarasan lapan-hala, roda stereng pelbagai fungsi berbalut kulit, sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin kawalan jauh serta kunci pintu automatik walk away.

Untuk pemanduan lebih agresif, anda boleh memilih untuk menggunakan pedal penukar gear pada stereng  ini.

Honda Malaysia juga memberikan ciri-ciri keselamatan yang sama pada varian 1.5 TC dan 1.5 TC Premium pada model paling asas dilengkapi enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSC), Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki (HSA), tali pinggang keledar pra tekanan dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Nadi Civic ini ialah enjin L15B7 1.5 liter VTEC Turbo (173 PS/220 Nm), yang cukup responsif sebaik saja pedal minyak ditekan dan transmisi CVT yang diberikan tidak menghampakan jentera ini apabila meluncur laju dilebuh raya.

Untuk penjimatan bahan api, tekan sahaja butang ECON yang terletak di sebelah kiri berhampiran gear.

Sistem talaan suspensinya juga memberikan tahap keselesaan terbaik dan mampu menyerap hentakan serta pada masa sama membenarkan tahap kebisingan yang minimum. Ruang kargo belakangnya juga luas dan mampu memuatkan barangan sebesar 519 liter.

Secara umumnya, model 1.5 L VTEC Turbo ini sudah cukup menyerlahkan teknologi terkini yang ditawarkan Honda menerusi model Civic generasi terbaru. Harga yang ditawarkan juga berpadanan dengan ciri diberikan kebanyakannya hampir sama dengan model varian lebih tinggi. Terpulanglah kepada anda mahu memilih varian yang mana. Tepuk Dada Tanya Selera.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini