Little Caliphs Kindergarten Bandar Mahkota Cheras dan Taman Mesra Kajang, Sabtu lalu mengadakan majlis Grand Ihtifal di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.
GRAND Ihtifal adalah majlis graduasi dan acara tahunan meraikan pelajar-pelajar cilik Tadika Little Caliphs khususnya pelajar berusia enam tahun yang bakal melangkah ke Tahun Satu tahun hadapan.
Acara yang diadakan dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu terbahagi kepada dua peringkat iaitu kanak-kanak berusia enam tahun pada sesi pagi manakala berusia lima dan empat tahun pada sesi petang bermula jam 2 petang.
Kehadiran ibu bapa bersama keluarga memeriahkan lagi acara pada sesi pagi yang turut menyaksikan persembahan dilakukan kanak-kanak enam tahun dari Little Caliphs Bandar Mahkota Cheras dan Taman Mesra Kajang.
Antara persembahan yang diadakan ialah bacaan surah pendek al-Quran, Coral Speaking, persembahan nyanyian, pemberian bunga ros kepada ibu oleh kanak-kanak dan majlis penyampaian sijil tadika serta sesi bergambar beramai-ramai di atas pentas.
Tidak dilupakan majlis itu turut menghargai guru-guru tadika yang berkhidmat dengan cemerlang dan pelajar terbaik untuk sesi tahun ini daripada dua tadika terbabit.
Pada sesi akhir, pelajar enam tahun dipakaikan dengan jubah dan topi sebagai tanda tamat pembelajaran tadika sebelum melangkah ke alam persekolahan tahun hadapan.
Pelajar-pelajar terbabit turut tidak ketinggalan bergambar kenangan bersama guru-guru tadika masing-masing.
Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar majlis Grand Ihtifal Little Caliphs Kindergarten Bandar Mahkota Cheras dan Taman Mesra Kajang di bawah ini.