Lexus Malaysia memperkenalkan model RX300 Special Edition, yang merupakan sebuah model menggunakan asas RX300 Luxury, tetapi diberikan lebih banyak aksesori.
LEXUS Malaysia menawarkan harga untuk model ini adalah RM434,000, menjadikannya lebih RM10,000 berbanding RX300 Luxury.
SUV mewah ini dipasang dengan beberapa aksesori asli Lexus, bermula dengan bahagian lip bawah bampar hadapan untuk lebih perlindungan dan kemasan di bawah pintu.
Turut diberi sentuhan adalah pemijak tepi bersepadu yang dapat membantu pengguna keluar dan masuk ke dalam kenderaan, terutamanya kanak-kanak serta orang berumur.
Selain itu, RX300 Special Edition turut didatangkan dengan visor tepi pintu bersama kemasan krom, serta plet di atas bampar. Ini dapat mengelakkan permukaan tersebut daripada tercalar apabila memasuk atau mengeluarkan barang.
Aksesori lain yang dipadankan pada kenderaan ini termasuk lampu di pintu (yang mempunyai tulisan Lexus dan logonya), pembaca dan transmitter Touch ‘n Go (bukan untuk RFID) dan perakam video (DVR, dashcam).
Pada bahagian mekanikal, tiada perubahan yang diberi, bermakna ia masih lagi menggunakan enjin empat silinder petrol 2.0 liter 8AR-FTS yang disokong pengecas turbo dan boleh menghasilkan kuasa sebanyak 235 PS dan 350 Nm tork. Kuasa ini disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi automatik enam kelajuan ECT.
Model RX300 Special Edition ini adalah model diimport sepenuhnya (CBU) dan didatangkan bersama jaminan pengilang lima tahun tanpa had batuan. Semua aksesori pula dipasang oleh pekerja terlatih di pusat aksesori UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.