Barisan Nasional (BN) akan memboikot serta tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

PENGERUSI BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, tindakan memboikot itu dilakukan kerana BN menganggap kerusi Parlimen berkenaan dikosongkan semata-mata bagi memenuhi cita-cita politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO mengadakan sidang media di Bilik Mesyuarat Tingkat 38, Menara Dato’ Onn sebentar tadi.- Foto Oleh MediaUMNO

“Sesuatu PRK itu diadakan untuk terjemahkan erti demokrasi bagi memenuhi kerusi setelah kematian berlaku, maka tentu kita mahu lihat bahawa penyertaan dalam menterjemah proses demokrasi itu harus berjalan.

“Tetapi jika kerusi itu dikosongkan bukan atas sebab kematian, maka pertimbangan harus dilakukan BN,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan bagi PRK berkenaan seharusnya disalurkan kepada rakyat memandangkan kerajaan dikatakan dihimpit masalah kewangan.

Ditanya sama ada UMNO akan membantu PAS sekiranya parti itu meletakkan calon, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua parti tidak mempunyai rundingan muktamad untuk bekerjasama dalam hal itu.

“Kita tidak ada sebarang rundingan secara muktamad tetapi ia berdasarkan ‘case to case basis’ dan ‘event to event basis’ seperti di PRK Sungai Kandis atau di Seri Setia,” katanya.

Katanya, parti itu juga tidak akan menyokong atau membantu mana-mana calon bebas yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan manakala hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini dan pengundian awal 9 Oktober.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang keluar parti hari ini, Ahmad Zahid menjawab ringkas: “selamat berjaya”.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung kerjasama UMNO dengan PAS, beliau berkata ia merupakan kerjasama antara parti pembangkang, dan bukannya untuk mewujudkan satu gabungan. –Bernama

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini