QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali tunggal kepada lebih 1,080 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia melancarkan cawangan restoran KFC yang ke-700 di Bandar Sri Sendayan di sini, sebagai meneruskan strategi perluasannya ke seluruh negara.
KFC Sri Sendayan Drive-Thru dibuka secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yum! Brands Inc., Greg Creed, sempena meraikan pencapaian istimewa KFC Malaysia ini bersama kehadiran Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands dan Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands.
QSR Brands telah menjadi peneraju di dalam memenuhi permintaan komersil di Bandar Sri Sendayan apabila menandatangani kerjasama strategik bersama pemaju bandar berkenaan, Matrix Concepts Holdings Berhad, pada November tahun lalu yang menghasilkan pembukaan restoran KFC pertama di bandar ini.
Sementara itu, Dato’ Kamaruzzaman berkata, restoran KFC ke-700 ini merupakan sebuah peristiwa penting kepada Kumpulan QSR Brands dan ia turut bermakna sempena meraikan ulangtahun ke-50 Johor Corporation tahun ini.
“Pembukaan restoran KFC yang ke-700 ini melambangkan pertumbuhan yang positif serta optimis bagi QSR Brands bagi melakar kejayaan seterusnya pada masa hadapan. Pencapaian seperti ini menjadi tonggak kepada kami untuk terus mengorak penguasaan di dalam industri perkhidmatan restoran segera yang serba kompetitif ini,” katanya.
Restoran KFC 24-jam yang baru dilancarkan di Bandar Sri Sendayan ini mampu menampung sejumlah 170 pelanggan pada satu masa serta dilengkapi dengan kemudahan pandu lalu.
Selain itu, KFC Sri Sendayan Drive-Thru dibina dengan teknologi penjimatan tenaga dan ciri-ciri mesra alam dengan sistem pengumpulan air hujan, pencahayaan LED, tiub lampu solar, lampu sensor gerakan, dan kaca beremisi rendah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab syarikat terhadap kelestarian alam sekitar.