Hampir sempurna, dua patah perkataan yang mampu menggambarkan ciri sebenar kenderaan sukan utiliti (SUV) Haval H2 yang dipandu uji Prebiu.com kali ini. Baca lebih lanjut mengenainya.
SELEPAS memandu uji model Haval H1 sebelum ini, persepsi penulis terus berubah 100 peratus apabila memandu uji model H2 pula kerana ciri yang ditawarkan pada model ini cukup berbeza daripada segi ciri luaran dan dalamannya.
Dengan reka bentuk saiz luaran yang besar dan tegap, SUV ini memberi saingan kepada model seperti Honda HR-V atau Mazda CX-3 pada tanda harga yang mampu milik dengan dilengkapi pelbagai ciri terkini yang tiada pada pesaingnya.
Model Haval H2 ini pada mulanya tiba di Malaysia dalam versi import (CBU) pada 2016 dan kemudian disusuli versi pemasangan tempatan (CKD) pada penghujung tahun lalu. Kehadiran model dari China itu mendapat sambutan hangat, malah kempen sifar GST turut melonjakkan jualan bagi model ini.
Prebiu.com yang memandu uji varian Comfort Auto berwarna merah ini cukup tertarik dengan gril depan krom yang seakan percaturan antara DNA sebuah kereta SUV Eropah cuma logo Haval ditengah-tengah menjadi perbezaannya.
Padanan rim 18-inci dan lampu siang (DRL) LED cukup menyerlahkan lagi kekemasan rekaan luaran SUV ini yang menyebabkan kenderaan lain memberi laluan apabila H2 ini memecut laju di lebuh raya.
Secara jujurnya, penulis sendiri teruja apabila H2 ini memiliki beberapa ciri yang unik seperti kamera undur dan kamera sisi kiri (blind spot visual system) yang memberikan visual yang jelas manakala bumbung suria mempunyai saiz bukaan yang besar.
Tidak ketinggalan Haval H2 turut didatangkan dengan butang ‘auto hold’, jadi tidak perlu bersusah payah bertukar gear ke ‘N’ atau menarik ‘hand-brake’ semasa lampu merah di lampu isyarat dan sistem kunci pintar pula memudahkan pemandu membuka dan menutup pintu dengan sekali sentuhan sahaja.
Satu lagi ciri unik ialah kehadiran lampu LED merah dengan perkataan HAVAL yang cukup jelas dipancarkan ke jalan pada waktu malam ketika membuka pintu dari bawah cermin sisi kiri dan kanan. Suis kawalan lampu automatik juga menjadi pelengkap kepada ciri unik ini.
7 Ciri Menarik H2
- Enjin 1.5L VVT turbo caj (CBU)
- Transmisi automatik 6-kelajuan dan pilihan mod manual 6-kelajuan
- Tenaga maksimum 147 hp dan daya tork 210 Nm
- Sistem kemasukan tanpa kunci
- Bumbung suria
- Kamera pada cermin sisi kiri
- Butang Auto Hold
Melangkah masuk ke ruang kabinnya pula, kerusi saduran kulit yang selesa untuk penumpang hadapan dan belakang manakala konsol tengah dan papan pemuka yang kemas dilengkapi lampu bacaan LED dan lampu ambien malam merah.
Lampu ambien hijau pada semua pintu juga menarik perhatian penulis sekali gus melupakan seketika persepsi negatif sesetengah pihak mengenai SUV buatan China ini.
Hah!, kalau nak tahu kerusi pemandu dipadankan dengan ciri pelarasan elektronik 6-tetapan dengan stereng kuasa boleh laras teleskopik. H2 turut menawarkan banyak ciri lain seperti skrin sentuh 7-inci dengan sambungan Bluetooth, MP5, USB, dan auksiliari (AUX) yang dipadankan dengan sistem bunyi berkualiti.
Bumbung suria pula boleh dikawal dengan suis tombol besar dan suis kawalan audio terletak pada stereng tiga jejari. Suis kawalan pendingin hawa juga boleh dilaras secara berasingan.
Untuk mendapatkan ruang bagasi lebih luas, kerusi penumpang belakang boleh dilipat dengan nisbah lipatan 60:40. Selain itu, H2 dibekalkan dengan tayar ganti saiz penuh, lengkap dengan rim 18 inci.
Padanan enjin petrol 1.5L VVT pengecas turbo dengan bantuan kotak gear automatik 6-kelajuan memberikan kuasa 147hp @ 5,600rpm dan tork 210Nm @ 2,200-4,500rpm. Enjin memberikan respon baik dalam julat pertengahan, manakala transmisi cukup bagus untuk kegunaan dalam bandar.
Bagaimanapun, dengan saiz badan yang agak besar, rasanya H2 ini lebih sesuai disuntik enjin lebih berkuasa seperti 1.8L sebagaimana enjin model Honda HR-V. Ini kerana kesan turbonya memang membantu memecut SUV ini tetapi memberi kesan sedikit kepada tahap penggunaan bahan api yang agak tinggi khususnya ketika dipandu laju.
SUV ini tidak mempunyai masalah dipandu laju di lebuh raya atau ketika menempuh kesesakan jalan raya. Ada tiga mod pemanduan disediakan iaitu Ekonomi, Snow dan Standard.
Kesimpulannya, Haval H2 mungkin boleh menjadi kereta idaman peminat SUV di Malaysia kerana tanda harga yang cukup berdaya saing cuma penambah baikan daripada segi tahap penggunaan bahan api mungkin boleh diberi perhatian.
Harga diatas jalan raya termasuk insurans (selepas SST)
- Varian Comfort RM98,950
- Varian Premium RM101,950
- Varian Elite RM116,670
- Model manual bermula dari RM89,000
- 5 tahun waranti atau 150,000 kilometer (mana yang terdahulu)