Atiara Johan Sdn Bhd secara rasminya melancarkan cawangan pengedar 3S baharu miliknya semalam. Majlis telah dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dan turut disertai barisan pengurusan PROTON yang lain.
CAWANGAN baharu yang dimiliki oleh Atiara Johan Sdn Bhd ini menggantikan bilik pameran berstatus 1S yang sebelum ini beroperasi di Pandan Indah, Kuala Lumpur, dan digunakan untuk aktiviti jualan sahaja.
Bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, syarikat telah bersetuju menaiktaraf perkhidmatan mereka kepada pusat 3S di lokasi baharu. Terletak di Puchong, cawangan baharu itu telah dibina di kawasan tanah lot dan kos pembinaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta, dengan kawasan seluas 1,700 meter persegi.
Kawasan sekitar bagi lokasi baharu ini merupakan sebuah kawasan komersial yang padat disamping berdekatan dengan jalan utama bersama syarikat-syarikat pengeluaran kereta yang lain, justeru mereka menganggarkan peningkatan jualan sebanyak 60% dan kemudahan servis akan menjadi aliran pendapatan baharu untuk cawangan tersebut.
“Kami telah mengambil peluang yang ada ini untuk menaik taraf dari pusat 1S kepada pusat 3S kerana kami tahu ini akan menyediakan masa hadapan yang lebih cerah kepada perniagaan kami untuk jangka masa panjang.
“Kami menyedari bahawa untuk berjalan seiring dengan hala tuju perniagaan baharu PROTON, kami perlu menaik taraf cawangan untuk tampil lebih segar yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dalam meningkatkan tahap jualan dan pengalaman servis yang baik kepada pelanggan kami,” kata Judith Yam, Pengarah Urusan Atiara Johan Sdn Bhd.
Judith berkata, “Pusat 3S ini juga akan membolehkan kami berhubung bersama pelanggan secara lebih dekat di mana kami boleh mengetahui isu-isu yang terdapat pada kereta mereka, sekiranya ada dan membantu mereka menyelesaikannya dengan serta-merta.
“Kami turut menyediakan kemudahan seperti Wi-Fi percuma, minuman dan ruangan untuk mengecas komputer riba yang membolehkan pelanggan beristirahat dan kekal berhubung.
“Sementara itu, bagi ibu bapa yang membawa anak-anak mereka juga boleh membiarkan anak-anak mereka bermain di ruangan kanak-kanak yang disediakan sambil menunggu kereta mereka diservis memandangkan kami mempunyai ruangan tempat duduk yang luas untuk pelanggan di kedua-dua kawasan jualan dan servis,” katanya.
Pusat servis ini dilengkapi dengan 14 tempat penyelenggaraan dan 12 servis pengangkat dan apabila digabungkan dengan kakitangan servis yang berpengalaman, semestinya para pelanggan akan dapat diberi jaminan masa yang lebih cepat dan tahap keselesaan lebih baik.
Sementara itu, sehingga 31 Ogos 2018, PROTON telah mencapai sebanyak 92% daripada sasarannya untuk pelan cawangan yang diluluskan berstatus 3S dan 4S. Sasaran Syarikat untuk mendapatkan sebanyak 109 cawangan menjelang Oktober tahun ini berjalan seperti yang dirancang kerana setakat ini sebanyak 100 cawangan telah mendapat kelulusan.