Kenderaan bisnes sedan terkemuka dunia yang didatangkan dengan kebolehan pemanduan elektrik akan diguna pakai di persidangan CEPSI 2018, eksklusif sebagai kenderaan rasmi bagi VVIP dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AESIEAP.
BMW Malaysia, telah menyerahkan kumpulan kenderaan BMW 5 Series Hybrid yang dilengkapi dengan Teknologi eDrive kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk diguna pakai semasa Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 yang bakal menjelang.
Kenderaan tersebut akan diguna pakai sebagai kenderaan rasmi di persidangan ulung ini yang akan berlangsung bermula dari 17 hingga 22 September 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang turut disertai oleh BMW Malaysia sebagai Rakan Kongsi e-Mobiliti yang Rasmi.
TNB akan menghoskan CEPSI 2018 bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).
Kenderaan-kenderaan tersebut diserahkan oleh Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia kepada Ketua Pegawai Korporat TNB dan Setiausaha Agung AESIEAP 2017/2018, iaitu Datuk Wira Roslan Ab Rahman di Ibu Pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur.
Mengenai kerjasama BMW Malaysia dengan TNB dan CEPSI 2018, Hoelzl berkata, “Kolaborasi ini melambangkan hasrat BMW Malaysia untuk menjadi rakan kongsi yang utama untuk mentransformasikan industri Elektro Mobiliti tempatan serta impian negara ini untuk mencapai Pembangunan yang Mampan.
“Kami berharap untuk saling bertukar pandangan dan kepakaran dengan para pemimpin serta peneraju di CEPSI untuk membentuk Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Roslan berkata, kenderaan yang ditaja oleh BMW akan digunakan sebagai kenderaan pengangkutan rasmi bagi VVIP dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AESIEAP sepanjang persidangan tersebut yang akan berlangsung selama lima hari.
“Kerjasama e-mobiliti ini merupakan yang sulung bagi CEPSI sejak ia diperkenalkan pada tahun 1976 di Hong Kong SAR. Kerjasama ini dijalinkan pada masa yang sesuai sementara kita menyaksikan berlakunya revolusi dalam bidang pengangkutan yang diterajui oleh kenderaan-kenderaan elektrik di seluruh dunia.
“Dengan itu, TNB melalui subsidiarinya, TNB Energy Services Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan Malaysian Green Technology Corporation untuk menawarkan perkhidmatan bersepadu kepada pemilik kenderaan elektrik di Malaysia,” katanya.
Dengan tema persidangan ini yang diberi nama, “Reimagining the Utility of the Future”, BMW akan mengongsikan pandangannya mengenai Mobiliti Masa Hadapan melalui Dr. Alexander Kotouc, iaitu Ketua Pengurusan Produk BMW i yang merupakan pengucap utama di persidangan tersebut.
Pengeluar kenderaan premium ini juga akan merungkaikan model baharu daripada portfolio BMW i.
“CEPSI 2018 juga merupakan peluang bagi kami untuk berkongsikan model yang benar-benar progresif daripada portfolio Mobiliti Bervisi kami. Kenderaan baharu ini mencontohi keupayaan kejuruteraan yang canggih dan reka bentuk yang berpaksikan manusia serta estetika lain yang mencabar batasan untuk menggambarkan semula masa hadapan, sejajar dengan tema CEPSI tahun ini,” tambah Hoelzl.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BMW Malaysia, sila layari www.bmw.com.my. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai CEPSI 2018 yang bakal menjelang, sila layari www.cepsi2018kl.org.