Masyarakat Muslim Kemboja disarankan agar wujudkan sistem Koperasi atau sistem yang diamalkan oleh Felda dalam usaha membuka tanah-tanah baru yang diberikan Kerajaan untuk manfaat kepada mereka yang tidak berupaya mengerjakan tanah.
PENGERUSI dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, konsep gotong royong dan membuat simpanan setiap hasil pendapatan akan dapat membantu golongan petani khususnya ketika dalam keadaan terdesak.
“Masyarakat Islam Kemboja perlu belajar bagaimana peneroka Felda membuka tanah rancangan yang ketika itu mereka miskin tetapi berkat kesabaran dan usaha kuat hari ini mereka berjaya.
“Jadi ambillah contoh ini agar umat Islam Kemboja juga boleh maju dan berjaya,” katanya ketika meraikan kira-kira 200 penduduk miskin Kemboja yang dilanda banjir di perkampungan View, Kemboja, baru-baru ini.
Pada majlis itu, beliau turut menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat. Kampung yang teruk dilanda banjir ialah Kampung Prekpak dan Kampung Cham yang kebanyakannya didiami penduduk Islam.
Menerusi misi bantuan kemanusiaan itu, NGO Antarabangsa memberikan bantuan keperluan harian beras sebanyak 20 kilogram, minyak masak, gula, tepung, sardin, mi dan lain-lain bagi meringankan bebanan setiap 200 keluarga.
Kebanyakan penduduk Islam ini memerlukan bantuan makanan kerana ketika ini cuaca dan banjir yang melanda menyebabkan mereka sukar mencari pendapatan. Dalam banjir yang melanda itu, bangunan masjid bagaimanapun masih bertahan walaupun kawasan disekeliling dinaiki air.
Dr Mustapha berkata, konsep kerjasama, tolong menolong dan bantu membantu sesama sendiri perlu ditekankan supaya kerja yang berat dapat diringankan.
“Kita akan berjaya jika melantik seorang ketua yang boleh dipercayai dan tahu mengenai hal pentadbiran serta kewangan ini bagi memudahkan urusan dengan pihak kerajaan.
“Pembukaan tanah baru perlulah dirancang dengan baik termasuk kemudahan sekolah, masjid dan kedai koperasi serbaguna bagi kemudahan masyarakat Kemboja,” katanya lagi.