Ingress Auto Puchong, pengedar sah kenderaan BMW di Malaysia mempertontonkan model BMW 6 Series Gran Turismo (GT) buat pertama kali kepada umum di pusat beli belah iOi City Mall, Putrajaya.

INGRESS Auto Puchong menjadi satu-satunya wakil pengedar BMW yang diberikan hak eksklusif untuk mempamerkan model itu yang baru dilancarkan secara rasmi Khamis lalu di luar bilik pameran.

BMW 6 Series GT yang dipasang sepenuhnya secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia adalah model pertama BMW yang dilancarkan selepas bermulanya pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengurus Korporat dan Pemasaran Ingress Auto Puchong, Eugene Lim berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh BMW Malaysia Sdn Bhd untuk mempamerkan model BMW 630i GT M Sport kepada umum.

Beliau berkata, selain model itu, dua lagi model turut dipamerkan iaitu BMW X5 dan X3, namun model 6 Series dilihat menjadi faktor penarik kepada pengunjung yang hadir di sini.

“Ingress Auto Puchong akan mempamerkan model ini bermula hari ini (Sabtu) selama empat hari sehingga Selasa ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam di ruang legar iOi City Mall.

“Selain itu, kami juga menyediakan tiga model BMW untuk sesi pandu uji kepada mereka yang berminat iaitu BMW 330e, BMW 530e dan BMW 740Le,” katanya.

Katanya, ramai yang beranggapan harga kenderaan akan melonjak naik apabila SST bermula namun harga sebenarnya tidak meningkat mengikut sesetengah model malah lebih baik berbanding ketika era GST.

Eugene berkata, sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyaksikan lebih dekat model BMW 6 Series GT boleh berkunjung ke iOi City Mall dan wakil jualan syarikat akan bersedia membantu memberi penerangan lebih jelas mengenai ciri menarik model berkenaan.

Antara ciri menarik model itu dipadankan dengan enjin empat silinder 2.0 liter yang mampu  menjana output maksimum yang mencecah 190 kW/258 hp (kuasa kuda) serta tork maksimum 400 Nm.

Model itu boleh memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j dan mempunyai penggunaan bahan bakar gabungan sebanyak 6.6 liter bagi setiap 100 kilometer.

Enjin TwinPower Turbo yang canggih pula digandingkan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan.

BMW 6 Series GT menawarkan pilihan warna iaitu Putih (Alpine White), Biru (Bluestone), Hitam (Carbon Black) dan Kelabu (Sophisto Grey) yang dipadankan dengan warna interior, iaitu dalam varian Hitam (Leather Dakota Black).

Khusus untuk pilihan padanan warna Hitam (Carbon Black) dan Kelabu (Sophisto Grey), pilihan tambahan ‘Leather Dakota Cognac’ juga ditawarkan.

ANGGARAN* harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW 6 Series GT ialah RM450,000.00*

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini