Koleksi jentera mewah terbaru ini memiliki prestasi, kuasa dan reka bentuk menarik.

MERCEDES-Benz Malaysia Sdn Bhd memperkukuhkan barisan koleksi model Kereta Idaman dengan memperkenalkan Mercedes-AMG GT C, Mercedes-Benz E300 Cabriolet dan Mercedes-AMG CLS.

Ketiga-tiga model yang dilancarkan itu sememangnya menjadi idaman buat mereka yang mahukan jentera mewah dengan memiliki prestasi berkuasa dan reka bentuk menarik.

Mercedes-AMG GT C

Mercedes-AMG GT C

Menerusi model Mercedes-AMG GT C adalah satu daripada barisan produk berprestasi jenama dari Jerman dalam keluarga AMG GT menerusi model AMG GT S dan AMG GT R.

Cuma Mercedes-AMG GT C adalah model coupe yang hadir menerusi bonet panjang dengan jeriji Panamericana serta padanan ambilan Jet Wing.

Rim tayar pula menggunakan saiz 20-inci aloi dengan lima jejari dengan kaliper brek (enam piston) berwarna merah.

Sementara itu, bagi pakej AMG Exterior Night, beberapa bahagian luarannya menerima kemasan krom hitam seperti diffuser belakang, jeriji, kit sisi badan serta hujung ekzos.

Ruang kabinnya pula kelihatan menarik dan sporty dengan padanan stereng AMG Performance material gentian mikro hitam Dinamica yang menjadi sebahagian daripada pakej AMG Dynamic Plus.

Pada masa sama, banyak kemasan pada ruang kabin dibaluti material kulit Nappa yang tampak bergaya dan sporty menerusi sulaman jahitan benang merah dengan padanan tali pinggang keselamatan warna merah dari koleksi Designo.

Mercedes-AMG GT C

Malah, ia turut didatangkan tempat duduk AMG Performance dengan fungsi memori dan dipertingkatkan menerusi suasana lebih menarik apabila dilengkapi bumbung suria  panoramik.

Mengenai rangkaian kuasanya pula, model ini dijana enjin 4.0 liter biturbo V8 yang menjana kuasa sebanyak 549hp pada 5,750 hingga 6,750 rpm dengan tork setinggi 680Nm dari 1,900 hingga 5,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke transmisi AMG Speedshift 7G-DCT automatik ke roda belakang yang mana kelajuan maksimum boleh mencapai 317 km/j, sementara pecutan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat.

Bagi mereka yang tidak berkira dengan wang, anda boleh memilikinya pada harga RM1.4 juta yang mana harga itu tidak termasuk GST.

Mercedes-AMG CLS

Mercedes-AMG CLS

Model CLS ini pula sudah memasuki generasi ketiga yang menawarkan reka bentuk menarik dalam segmen coupe empat pintu.

Apa yang menariknya, Mercedes-AMG CLS 53 ini adalah model paling berkuasa dalam keluarga CLS.

Seperti model siri-53 yang lain, ia turut hadir dengan bentuk yang unik dengan kehadiran jeriji radiator bilah berkembar bersama logo tiga bintang ditengah-tengah.

Mercedes-AMG CLS

Padanan kit bahagian hadapan turut menjadikan model CLS ini kelihatan cukup sporty apatah lagi dipadankan dengan rim bersaiz besar iaitu 20 inci.

Pada bahagian belakang, reka bentuknya tampak klasik dengan kehadiran ekzos berkembar krom, selain padanan spoiler kecil yang menggunakan bahan karbon.

Cukup memukau pandangan ialah ruang kabinnya dilengkapi paparan skrin 12.3 inci pada papan pemukanya serta menggunakan stereng AMG Performance sebagai ciri standard.

Mercedes-AMG CLS

Bagi enjinnya pula, ia menggunakan rangkaian kuasa enam silinder sebaris bersesaran 2,999cc yang menyalurkan 435hp pada 6,100rpm dengan tork setinggi 520Nm antara 1,800 sehingga 5,800rpm.

Kuasa itu disalurkan ke transmisi AMG Speedshift TCT 9G yang memberi tindak balas lebih baik bagi kenderaan pacuan semua roda itu.

Jentera paling berkuasa dalam keluarga CLS itu mampu memecut dari 0-100km/j dalam tempoh 4.5 saat dengan kelajuan maksimum boleh mencecah 250km/j.

Mercedes-AMG CLS 53 dijual pada harga RM806,638.35 tanpa GST.

Mercedes-Benz E Cabriolet

Mercedes-Benz E Cabriolet

Bagi mereka yang mahukan sebuah kenderaan untuk pemanduan santai, model Mercedes-Benz E Cabriolet dua pintu ini mungkin boleh menjadi pilihan kerana bumbungnya boleh dibuka sepenuhnya.

Bumbungnya kini hadir dengan fabrik lembut premium boleh didapati dalam warna coklat gelap, biru gelap, merah dan hitam.

Ia boleh dibuka dan ditutup dalam tempoh 20 saat ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 50km/j.

Mercedes-Benz E Cabriolet

Bahagian enjinya, ia menggunakan rangkaian kuasa bersesaran 1,991cc dengan menyalurkan 245hp pada 5,500rpm dan tork setinggi 370Nm antara 1,300 sehingga 5,500rpm.

Ini bermakna jentera serba mewah ini boleh memecut 0-100km/j dalam 6.5 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j.

Mercedes-Benz E Cabriolet ditawarkan dengan spesifikasi E 300 dengan kehadiran AMG Line yang mana ia dijual pada harga RM588,888 tanpa GST.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini