Seramai 21 pelajar baru-baru ini menerima biasiswa daripada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda mereka di universiti tempatan.

LATAR belakang kewangan dan pencapaian akademik merupakan kriteria utama dalam pemilihan penerima biasiswa PIDM. Kebanyakan penerima biasiswa berasal daripada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari RM2,000 sebulan.

Chong Siew Choo menerima sijil Biasiswa Sarjana Muda PIDM daripada Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Pengerusi PIDM. Bersama mereka adalah Rafiz Azuan Abdullah (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif PIDM and Lim Yam Poh (kanan), Ketua Pegawai Operasi and Kaunsel Am PIDM

“Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM menyokong golongan muda yang layak dengan menyediakan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian di universiti sehingga tamat
pengajian.

Menerusi program ini, kami mengiktiraf dan menyokong potensi mereka sebagai bakal
pemimpin di masa hadapan dan juga sebagai duta PIDM,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua
Pegawai Eksekutif PIDM.

Setakat ini, lebih daripada 120 pelajar telah menerima biasiswa PIDM. Penuntut Universiti Sains Malaysia, Chong Siew Choo, berkata dengan biasiswa itu beliau dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa perlu bekerja sambilan lagi.

Bapa Chong yang mempunyai masalah kesihatan tidak dapat bekerja sepenuh masa dan mampunyai dua tanggungan lain.

“Mendiang ibu saya menekankan kepentingan mengimbangi pelajaran dengan aktiviti kokurikulum. Dengan adanya biasiswa ini, saya kini berpeluang menyertai aktiviti sukan dan kerja-kerja sukarelawan,” kata Chong, yang melanjutkan pelajaran dalam ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan.

Pelajar ijazah Sarjana Muda Kepujian Sains Ekonomi di Universiti Utara Malaysia, Mohd Azreen Arrifin berkata, biasiswa ini memberi motivasi kepada beliau untuk melakukan yang terbaik dalam pelajarannya.

Azreen bercita-cita untuk menjadi pakar ekonomi suatu hari nanti. “Sebelum ini, saya menghadapai kesukaran untuk menyiapkan tugasan dan mencari maklumat.

Kini, dengan adanya komputer riba saya tidak perlu lagi bergantung kepada perpustakaan universiti dan juga rakan-rakan,” kata Azreen.

Mathana Raj a/l Muniandy menerima sijil Biasiswa Sarjana Muda PIDM daripada Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Pengerusi PIDM. Bersama mereka adalah Rafiz Azuan Abdullah (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif PIDM and Lim Yam Poh (kanan), Ketua Pegawai Operasi dan Kaunsel Am PIDM

Selain daripada sokongan kewangan, penerima biasiswa akan dibimbing oleh kakitangan
profesional PIDM yang mempunyai pengalaman relevan dengan bidang pengajian mereka.

“Saya berbesar hati kerana bakal mendapat peluang bimbingan dari mentor PIDM yang
berpengalaman dan saya tidak akan mensia-siakan peluang ini,” kata penuntut perakaunan
daripada Universiti Malaya, Mathana Raj a/l Muniandy.

Beliau juga berharap dapat menjalani latihan industri di PIDM.

Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, yang ditubuhkan pada tahun 2010, adalah biasiswa yang tidak terikat dan merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup serta bahan berkaitan pengajian.

Pemegang biasiswa dipilih berdasarkan kepada pencapaian akademik dan kokurikulum,
kemahiran komunikasi, kematangan serta kualiti kepimpinan dan kemampuan kewangan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini