Pelbagai maklumat dan persepsi diterima daripada rakan-rakan yang pernah memandu uji model Haval H1 ini mendorong Prebiu.com untuk mencuba sendiri model yang diedarkan oleh Go Auto Sales Sdn Bhd. Baca lebih lanjut pandu uji Haval H1 oleh Prebiu.com.

HAVAL dahulu dikenali sebagai Great Wall Motors (GWM), pengeluar kenderaan pengeluar kenderaan utiliti sukan (SUV) terkemuka dari China yang menampilkan dua model di negara ini iaitu Haval H1 dan H2.

Bagaimanapun, tidak semua persepsi mengenai model kenderaan buatan China ini dianggap negatif kerana bagi penulis setiap kenderaan yang dipasarkan dijalan raya Malaysia ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Semua ini terpulang kepada bajet dan minat masing-masing mengenai sesebuah kenderaan yang mahu dimiliki sama ada memilih berdasarkan harga yang ditawarkan atau jaminan untuk tempoh jangka panjang dan pastinya kelemahan atau kekurangan ini boleh diperbaiki pada masa depan.

Melihat secara kasar, rekabentuk luaran Haval H1 yang diletakkan dalam kategori SUV segmen B ini menampilkan ciri yang unik khususnya rekaan hud belakangnya yang agak menonjol berbanding rekaan hadapannya yang sudah cukup sempurna.

Dengan padanan rim bersaiz 16 inci sudah cukup sesuai kenderaan ini meredah apa jua permukaan jalan raya sama ada untuk pemanduan dibandar mahupun di luar bandar. Tahap ketinggiannya sudah memadai untuk meredah banjir kilat di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Haval H1 menampilkan tiga varian seperti ditawarkan model terdahulu, iaitu Comfort, Premium dan Elite.

Perkataan HAVAL ialah singkatan daripada ‘Have All’ yang bermaksud ‘Semuanya Ada’. Kehadiran model itu bukan saja menawarkan pada harga mampu milik, kesemua kenderaan Haval turut dipadankan dengan ciri dan teknologi terkini.

Berbanding model Haval M4, antara pembaharuan yang ditampilkan pada H1 ialah gril krom yang lebih sporty dan penampilan logo Haval di stereng, but dan tempat duduk.

Prebiu.com yang memandu uji model varian Elite ini, dilengkapi kerusi saduran kulit dengan ruang dalamannya kelihatan mewah tetapi agak sendat sedikit sekiranya membawa ramai penumpang sekali gus mengingatkan penulis kepada ruang dalaman model Perodua Kembara.

Bagaimanapun, pujian boleh diberikan kepada ruang dalamannya khususnya panel meter kelajuan, paparan petunjuk bahan api serta trip perjalanan yang menggunakan paparan digital sepenuhnya.

Rekaan papan pemukanya agak kemas dan lengkap dengan sistem audio bercirikan papan skrin sentuh bersaiz 8 inci memberi kelebihan kepada model ini. Paparan kamera undur juga jelas dipaparkan pada skrin audio Haval H1 ini.

Untuk makluman, Go Auto juga mencatat sejarah dalam industri automotif tempatan apabila menjadi syarikat pertama dianugerahkan lesen pembuatan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan kedua-dua model Haval iaitu H1 serta H2 turut menerima pengiktirafan EEV daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

HAVAL H1 dijana enjin empat-silinder petrol 1.5 liter VVT MPI berkuasa 105hp pada 6,000rpm dan 138Nm pada 4,200rpm. Semua varian HAVAL H1 menggunakan sistem pacuan roda depan dan ditawarkan dalam transmisi AMT 6-kelajuan.

Bagaimanapun, padanan gear transmisi AMT 6-kelajuan oleh Getraq dari Jerman pada model ini mungkin boleh diperbaiki pada masa depan kerana penggunaan gear ini tidak begitu lancar seperti mana gear automatik lain. Penukaran gear D apabila bergerak dirasakan agak kasar dan perlahan.

Disebalik kekurangan ini, Haval H1 turut dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Hill Hold Control (HHC) dan Kawalan Kestabilan Elektrik (ESC) untuk memberikan kawalan kepada kestabilan kenderaan ini ketika dipandu pada laluan mencabar. Keempat-empat tayar kenderaan ini juga dilengkapi sistem brek cakera.

Paling menarik ciri ialah alat pembaca tol binaan dalam dengan penunjuk baki dan anda hanya perlu menyediakan kad Touch’N Go untuk mengaktifkannya.

Bagi anda yang mahukan reka bentuk lebih sporty dan menarik, Go Auto turut menawarkan HAVAL H1 Elite yang berharga RM72,659 bersama ciri lampu depan halogen yang dilatari barisan LED di atasnya.

Ciri LED tambahan turut diletakkan pada lampu kabus yang pastinya menambahkan seri model berkenaan. Ada enam warna sebagai pilihan, iaitu putih, perak, hitam, biru, merah dan oren.

Lebih menarik, kesemua varian Haval H1 kini didatangkan dengan jaminan selama tujuh tahun tanpa had perbatuan.

Bagi melonjak prestasi jualan dan pemilikan, bermula 1 Januari 2017, HAVAL memperkenalkan ‘Buy Back Guarantee’ dengan memberi jaminan 50 peratus nilai kenderaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini bermakna HAVAL akan membeli semula kenderaan jenama itu pada harga 50 peratus daripada harga jualan, sekiranya pemilik menjual kenderaan dalam tempoh lima tahun.

Spesifikasi Haval H1

  • Dua beg udara keselamatan
  • Enjin 1.5 Liter VVT 4 silinder sebaris (DOHC), 16 injap
  • Tork maksimum 138Nm pada 4200rpm
  • Saiz tayar 205/60/R16
  • Harga atas jalan termasuk insurans tanpa GST RM58,384.08 (varian Comfort), RM64,044.45 (varian Premium) dan RM70,622.23 (varian Elite)
  • Jaminan 7 tahun dengan perbatuan tanpa had
  • SUV pertama sebagai EEV di Malaysia

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini