Model kenderaan sukan utiliti (SUV) Nissan X-Trail generasi ketiga mula diperkenalkan pada 2015 dengan gaya rekabentuk yang lebih aerodinamik.

MESKIPUN kebanjiran model SUV dihasilkan syarikat automotif lain, model Nissan X-Trail ini boleh dianggap tidak ketinggalan zaman meskipun sudah lama berada di pasaran.

Bagi mereka yang mahukan kelainan dalam penampilan sesebuah kenderaan, model Nissan X-Trail Impul mungkin boleh menjadi pilihan. Anda tidak perlu bimbang dengan jentera sentuhan talaan Impul ini kerana pemasangan rim sport, body kit dan spring sport dilakukan dengan jaminan sepenuhnya oleh syarikat pengeluar.

Pengenalan pakej Impul ini sebenarnya memberi peluang kepada penggemar SUV yang mahu kelihatan sporty dan pada masa sama, turut berasa yakin dengan aksesori yang dipadankan mengikut spesifikasi serta peraturan jalan raya malah mendapat jaminan pemasangan kilang.

Apa yang menarik bagi model talaan Impul ini? Yang pertama ialah ‘skirting’ sisi, spoiler hadapan dan belakang rekaan baharu, selain padanan rim aloi Impul Aura SX-50 bersaiz 18 inci bersama kemasan krom berwarna gangsa serta hitam berkilat.

Ketinggian kenderaan itu dikurangkan 30 milimeter dengan bantuan gegelung Impul Sports yang turut membantu pemanduan lebih lincah dan responsif. Ia juga dilengkapi pelindung pintu dan pemijak kaki tahan karat LED bagi melengkapkan lagi pakej berkenaan.

Nissan X-Trail yang diperkenalkan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) secara luarannya memiliki reka bentuk yang lebar dan berbentuk aerodinamik dengan garisan lembut yang kelihatan moden dan bergaya, sekali gus bersesuaian untuk kegunaan urban.

Jika diimbau pada model generasi pertama dan kedua Nissan X-Trail, ia hanyalah SUV yang mempunyai lima tempat duduk sesuai dengan cita rasa pengguna pada waktu itu yang tidak begitu menitikberatkan aspek ciri tambahan.

Sebanyak dua varian impul ditawarkan membabitkan model 2.5L 4WD Premium Impul berharga RM158,180.01, manakala 2.0L 2WD Premium Impul pula dijual pada RM137,214.46 di atas jalan tidak termasuk insurans (Harga baru sempena sifar GST). Rebutlah peluang ini sebelum September ini apabila SST akan diperkenalkan mungkin harganya kembali meningkat.

Pada masa sama, pelanggan dan pemilik Nissan X-Trail yang berminat dengan pakej lengkap Impul boleh memperolehnya pada harga yang ditetapkan mengikut jenis aksesori.

Menerusi model varian 2.5 liter, ia dipadankan pelbagai teknologi terbaharu termasuk dilengkapi All Mode Intelligent 4X4-I untuk mod pemanduan mengikut keadaan jalan.

Mod ditawarkan membabitkan pacuan dua roda, Mod Auto yang menukar pengedaran tork di antara roda depan dan belakang secara automatik serta Mod Kunci untuk pemanduan pacuan empat roda sepanjang masa. Menukar kepada mod itu nyata lebih mudah kerana ia boleh ditukar dengan hanya memulas butang yang terletak di konsul tengah.

Sebaik menukar ke Mod Kunci, ia sememangnya memberi kuasa penuh kepada keempat-empat roda untuk melalui laluan lasak malah ciri Advanced Hill Descent Control (HDC) yang diaktifkan secara automatik dalam kedudukan pacuan 4WD Mod Kunci bagi mengelak kenderaan menggelongsor laju ketika menuruni curam.

Mengikut spesifikasi yang dibekalkan, varian tertinggi 2.5L 4WD dikuasakan enjin QR25DE-k2 mampu menghasilkan kuasa maksimum 169hp pada 6,000rpm dan tork setinggi 233Nm pada 4,000rpm.

Biarpun ditawarkan dengan dua beg udara, Nissan X-Trail generasi terbaharu ini dilimpahi ciri keselamatan aktif yang membantu menghindarkan kemalangan di jalan raya.

7 Ciri Menarik X-Trail Impul

  • Dilengkapi Active Trace Control yang memberi kuasa brek kepada tayar tertentu bagi membantu mengawal kenderaan ketika melalui selekoh dengan stabil.
  • Sistem Brek Aktif Enjin (AEB) dan Kawalan Pemanduan Aktif (ARC) untuk meningkatkan lagi ciri keselamatannya.
  • Mampu membawa tujuh penumpang dengan konfigurasi tempat duduk 5+2.
  • Tempat duduk pemandu dibangunkan dengan konsep graviti sifar yang membantu mengurangkan keletihan.
  • Kapasiti kargonya boleh mencecah sehingga 1,520 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat mendatar.
  • Dilengkapi Kamera Undur dengan Monitor Pemandangan Sekeliling 360 darjah yang pertama dalam kelasnya.
  • Padanan butang Econ bagi tujuan menjimatkan penggunaan minyak petrol

SPESIFIKASI

Nissan X-Trail 2.5L 4WD Premium Impul
Enjin: 2,488cc, empat silinder sebaris, 16 injap, DOHC dengan Twin CVTC
Kuasa maksimum: 171PS pada 6,000rpm
Tork maksimum: 233Nm pada 4,000rpm
Transmisi: Xtronic CVT tujuh kelajuan
Ciri keselamatan: 2 beg udara, ABS, EBD, HSA, TCS dan ABLS
Harga: RM RM158,180.01 (tidak termasuk insurans dan sifar GST)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini