Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan siri setem “Sitrus Malaysia” pada Selasa, 24 April 2018.

SIRI setem ini akan mengetengahkan ciri-ciri dan perisa limau yang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia sejak dahulu lagi.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang dikurniakan dengan pelbagai perisa semulajadi dan limau merupakan bahan yang lama wujud dan sebati dalam masyarakat dan budaya kita, terutama dalam masakan serta bahan kecantikan.

Justeru, kami di Pos Malaysia ingin menonjolkan kegunaan serta kepelbagaian limau dalam masyarakat kita,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak.

Tiga setem yang dikeluarkan untuk edisi ini adalah Limau Kasturi (60sen), Limau Purut (60sen) dan Limau Nipis (60sen). Lembaran Mini (MS) pula dicetak menggunakan teknik Gloss Varnish atau kemasan kilauan varnis, bagi menonjolkan isi buah Limau Bali sebagai sebahagian daripada ciri istimewa koleksi setem tersebut.

Selari dengan tema sitrus, imej perahan limau akan digunakan tanda pembatalan bagi siri ini.

“Kami menggalakkan semua pengumpul setem dan orang ramai mendapatkan salinan masing-masing segera kerana tidak akan ada pengeluaran semula koleksi ini sebaik stok habis.

Kami mencetak 200,000 keping untuk setiap reka bentuk setem (600,000 keseluruhan), 28,000 keping Sampul Hari Pertama (FDC), 25,000 helai MS dan 1,800 keping folder,” tambah Ishal semasa sidang media tersebut.

Ishsal berkata, Lembaran Mini (MS) dijual pada harga RM6.00 setiap satu manakala FDC berserta brosur percuma dijual dengan harga 55sen, manakala Folder pula dijual pada harga RM6.35 setiap satu.

Set lengkap siri ini boleh didapati pada harga RM60.20 setiap satu. Semua harga yang tersenarai adalah termasuk GST.

Semua pengumpul setem digalakkan untuk membuka Akaun Deposit Pesanan Berdaftar (SODA) bagi memudahkan urusan pembelian siri setem terkini.

“Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh melakukannya dengan mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau dalam talian di www.posonline.com.my.

Ahli SODA berpeluang menikmati pelbagai faedah. Sebagai langkah alternatif, siri setem terbaharu juga boleh didapatkan melalui laman web www.eziemall.com. Peminat setia produk filateli juga boleh melayari www.pos.com.my atau melawat Pos Malaysia Outlet terdekat atau Galeri Setem di Level Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur.

“Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia juga boleh dihubungi melalui telefon di talian 03-22672267 samb. 2000 atau e-mel kepada [email protected] untuk pertanyaan
mengenai setem,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini