Kelab peminat Sitizone (SZ), mengadakan majlis doa selamat bagi menyambut kelahiran anak penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung, semalam.
Pengurus Siti, Rozi Abdul Razak berkata, majlis itu dihadiri 100 peminat yang datang dari serata negeri termasuk Singapura dan Indonesia.
“Alhamdulillah, majlis yang dirancang lebih kurang seminggu ini berjalan lancar. Majlis ini terbuka kepada semua SZ yang bekelapangan untuk hadir.
“Majlis dibuat bagi memohon agar Siti selamat dan dipermudahkan proses bersalin. Dalam masa sama, ia juga bagi memohon kesembuhan bagi rakan SZ yang ditimpa penyakit.
“Walaupun ia majlis sederhana dan santai, tetapi ia cukup bermakna untuk SZ. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir malah sanggup datang dari jauh,” katanya.
Rozi berkata, apa yang penting sekarang adalah doa dan sokongan buat Siti agar dipermudahkan segala urusan.
Ditanya tarikh sebenar Siti bakal menjalani pembedahan untuk bersalin, Rozi berkata dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, tidak lama lagi. Dalam sehari dua,” katanya ringkas.
Dalam keadaan sarat mengandung, Siti juga sempat menjalani penggambaran muzik video lagu Comel Pipi Merah, Jumaat lalu.
Sebelumnya, lagu itu sudah dilancarkan di semua platform digital dan mendapat sambutan menggalakkan. Gambar dari Instagram CTDK