‘Master Butcher’ Malaysia, Chef Mustaffa Othman atau lebih mesra dengan panggilan Pak Mus mahu anak-anaknya meneruskan legasi perniagaan yang dibina menerusi pengalaman luasnya lebih 40 tahun.
KETIKA pertama kali bertemu Pak Mus, gayanya cukup bersahaja dan penuh dengan sikap merendah diri, namun sebaik sahaja memegang pisau, skil ‘kejantanan’ sebenarnya terserlah apabila memotong kepingan daging dengan pantas dan tepat.
Malah ada antara kepingan daging itu yang dipotong tanpa mengukur terlebih dahulu memiliki berat yang sama. Hebat bukan!.
Inilah kemahiran yang dimiliki seorang bapa kepada empat anak yang cukup mahir dalam selok belok jenis daging mahupun apa saja berkaitan makanan.
Maka tidak hairanlah pemilik nama Hj Mustaffa Othman ini mempunyai kehebatan tersendiri dalam bidang ini yang jarang dimiliki oleh masyarakat Islam dan sememangnya layak dinobatkan sebagai Master of Butcher.
Beliau yang menimba pengalaman di United Kingdom selama 11 tahun pernah berkhidmat dengan keluarga Diraja di Eropah.
“Semua yang masuk ke restoran saya ini saya anggap sebagai tetamu……mereka datang membawa rezeki kepada saya. Nawaitu saya berniaga ialah memberi tetamu makanan yang sebaik mungkin. Saya mahu menyediakan mereka makanan yang berkhasiat.
“Saya berpegang teguh apabila kita buat sesuatu yang baik, Allah SWT akan membalas kepada kita benda yang baik. Malah doa dari pelanggan juga membawa berkat dan menambah rezeki kepada perniagaan yang saya usahakan,” katanya ketika ditemui Prebiu.com di Restoran JAHHET Fine Meat, Taman Nirwana Ampang, baru-baru ini.
Pak Mus yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-62 pada 15 Mac ini turut melahirkan kesediaan untuk menyerahkan sepenuhnya perniagaan yang diusahakan ini kepada anak-anaknya yang sudah dilatih mengikut bidang kemahiran masing-masing.
Beliau dikurniakan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan yang kini menguruskan operasi harian JAHHET Fine Meat yang memiliki dua cawangan iaitu di Taman Nirwana, Ampang dan Bandar Baru Bangi, Selangor.
Anak-anaknya terdiri daripada Muhd Ezman, Amirul Aiman, Fareza dan Khisofi Mustaffa.
Anak sulungnya, Muhd Ezman dipertanggungjawab kepada urusan pentadbiran manakala anak kedua, Amirul Aiman sebagai pemotong daging dan anak ketiga (perempuan) menjaga urusan kewangan serta anak bongsu berkhidmat sebagai tukang masak.
Menurut lelaki berasal dari Kelantan ini, sebaik tamat persekolahan, keempat-empat anaknya dilatih untuk bekerja dengannya dan segala ilmu dicurahkan sepenuhnya bagi memastikan legasi perniagaannya dapat diteruskan oleh anak-anaknya.
“Harapan saya ialah agar perniagaan ini dapat dikembangkan lebih meluas dan lebih ramai masyarakat Islam dapat dilahirkan dalam bidang ini.
“Saya sendiri menyediakan kelas atau kursus khas selama 10 hari setiap tiga kali setahun yang terhad kepada 10 orang sahaja kepada mereka yang berminat untuk mempelajari bidang memotong daging,” katanya.
Ditanya bagaimana beliau mampu bertahan disebalik persaingan dalam perniagaan, Pak Mus berkata, setiap hari beliau akan memohon doa kepada Allah SWT dan berserah sepenuhnya kepada Maha Pencipta makhluk sekelian alam.
Sementara itu, katanya JAHHET Fine Meat kini muncul restoran pertama dan satu-satunya restoran di Malaysia yang menyediakan daging Wagyu halal yang terbaik dari Miyazaki, Jepun.
Beliau berkata, daging itu diimport sepenuhnya dari pengeluar daging wagyu dan mendapat pensijilan halal dari Jepun dan Jabatan Agama Islam (Jakim).
“Sebagaimana konsep syarikat penerbangan AirAsia iaitu Kini Sesiapa Boleh Terbang, JAHHET juga menawarkan konsep sama “Kini Semua Orang Boleh Makan Wagyu Jepun” tanpa perlu terbang ke Jepun atau menikmatinya di hotel ternama.
“Ramai yang beranggapan daging wagyu mahal tetapi sebenarnya ada juga yang ditawarkan pada harga rendah kerana wagyu sendiri mempunyai 15 jenis gred daging.
“Anda boleh menikmati wagyu pada harga serendah RM84 sehingga kepada lebih RM25,000 di restoran ini dengan hidangan minuman adalah percuma sepanjang masa (free flow),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Agroland Malaysia Sdn Bhd, Ismail Ahmad berkata, pihaknya melakukan lawatan ke ladang penternakan lembu wagyu dan dapat melihat sendiri proses membiak lembu dilakukan oleh penternak lembu di Miyazaki, Jepun.
Beliau yang juga rakan usahama perniagaan bersama Pak Mus berkata, daging wagyu dari Miyazaki, Jepun memang terkenal sebagai daging wagyu terbaik di Jepun dan pernah memenangi Anugerah Perdana Menteri bagi Pameran Kompetitif Kebangsaan Wagyu pada tahun 2007 dan 2012.
“Kami bukan saja pengimport daging wagyu halal dari Jepun tetapi turut menawarkan peluang perniagaan kepada mereka yang berminat menjadi usahawan atau pembekal daging ini di seluruh negara.
“Kami menyediakan pelbagai pakej pelan perniagaan mengikut bajet dan bersedia melatih usahawan yang berminat menceburi bidang ini yang menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan pelanggan boleh menghubungi talian 012-9111777 atau 011-2229977 atau facebook Chitbone Butchery by Pakmus di JAHHET Taman Nirwana, Ampang.
Cawangan Bangi pula terletak di Street Mall Bangi Gateway menerusi talian 017-3377637.