Ibu pejabat korporat AirAsia, RedQ telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.
MAJLIS perasmian itu telah disaksikan oleh lebih 2,000 kakitangan AirAsia (Allstars) yang turut hadir dan yang berada di hab Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu melalui siaran secara langsung.
Hadir sama Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan dan Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Wakil eksekutif AirAsia yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Pengarah Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X; Datuk Kamarudin
Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia yang lain.
Tony berkata, “AirAsia adalah syarikat untuk semua, dan kami sentiasa mendahulukan kakitangan kami. RedQ telah direka untuk para Allstars menjalani gaya hidup yang ceria dan sihat.
Kejayaan sebuah syarikat bergantung kepada para kakitangannya, dan kami ingin mewujudkan sebuah pejabat yang telus, dengan sistem meritokrasi dan digital, yang berinovasi dan menerima kepelbagaian budaya, supaya kakitangan kami mempunyai peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya dan menjadi yang terbaik.
Kerana inilah AirAsia telah merangkul anugerah syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama sembilan tahun berturut-turut.”
Kakitangan AirAsia dan AirAsia X di Malaysia secara rasminya telah berpindah ke RedQ pada bulan November 2016. Direka dengan estetik perindustrian, pejabat tersebut berkeluasan 18,000 meter persegi dan boleh memuatkan lebih 2,000 orang kakitangan.
Kemudahan lain di RedQ termasuk Pusat Jagaan Kanak-kanak Lil Star, pusat fisioterapi, klinik Allstar, gimnasium dengan jurulatih peribadi, pod tidur, kafetaria, kedai kopi T&Co, kedai salad, dan gelongsor setinggi tiga tingkat.