Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah secara rasmi menyertai pasukan MotoGP Monster Yamaha Tech 3, semalam sekali gus muncul pelumba pertama dari Asia Tenggara bertarung dalam kelas utama itu.
HAFIZH akan bergandingan bersama pelumba Perancis yang juga bekas juara dunia Moto2 dua kali, Johann Zarco.
Beliau akan bertarung dalam musim penuh MotoGP bersama jaguh juara dunia seperti Marc Marquez, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Dani Pedrosa.
Kemunculan Hafizh bermula selepas pelumba dari Jerman, iaitu Jonas Folger mengumumkan tidak dapat berlumba pada musim ini atas sebab kesihatan menyebabkan pasukan Yamaha Tech3 telah memulakan pencarian pelumba pengganti.
Semasa sesi ujian di Litar Sepang, khidmat Yonny Hernandez digunakan tetapi selepas itu, mula terdapat khabar angin beliau akan diganti oleh Hafizh Syahrin, pelumba negara yang berusia 23 tahun.
Apabila sesi ujian seterusnya di Buriram, Thailand, pasukan yang berpusat di Perancis itu kemudian mengumumkan Hafizh Syahrin telah dipilih untuk sesi ujian di Buriram, Thailand, tetapi pada waktu itu keputusan yang dibuat hanyalah untuk sesi ujian dan bukannya perlumbaan sebenar.
Bagaimanapun, semalam teka-teki ini akhirnya ditamatkan apabila pasukan Monster Yamaha Tech3 mengumumkan secara rasmi khidmat Hafizh Syahrin akan digunakan untuk keseluruhan musim 2018, mengendalikan jentera YZR-M1 dalam perlumbaan kategori premier MotoGP, bersama Johann Zarco.
“Saya ingin berterima kasih kepada Hervé, Yamaha Motor Corporation, Monster dan keseluruhan pasukan Tech3 kerana percaya pada saya dan memberikan peluang yang hebat untuk berlumba dalam musim penuh MotoGP ini.
Terima kasih juga kepada keluarga saya, yang sentiasa menyokong untuk menjadikan mimpi ini satu kenyataan, terutamanya bapa saya, dan juga peminat serta tentu sekali Razlan. Saya tidak sabar untuk melakukan sesi ujian seterusnya di Qatar, dan saya rasa lebih bermotivasi,” kata Hafizh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC), Datuk Razlan Razali berkata: “Sesi ujian di Buriram sudah menjadi satu sejarah penting bagi Hafizh.
Pengumuman rasmi Hafizh akan bertanding dalam musim penuh dengan pasukan Monster Yamaha Tech3 adalah satu pengumuman dan pencapaian yang besar bagi pelumba Malaysia, selepas menganjurkan MotoGP di Malaysia selama 26 tahun.
Ia juga adalah satu berita hebat untuk benua Asia. Saya mesti berterima kasih kepada Hervé Poncharal untuk peluang, kepercayaan serta keyakinan beliau pada Hafizh.”
“Yamaha lebih daripada gembira dengan prestasi Hafizh dan seluruh pasukan Tech3 pula rasa senang hati. Saya berasa sangat bertuah dan bangga untuk memberi beliau peluang ini, dan saya tahu ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah kerana ini adalah pertama kali pelumba dari Malaysia dapat berlumba dalam musim penuh menggunakan jentera MotoGP, dan kami tahu betapa popularnya sukan ini di negara sebelah sini,” kata Pengurus Pasukan Monster Yamaha Tech3, Hervé Poncharal.