Proton mencatatkan jualan 4,783 unit kereta pada Januari 2018 dengan jumlah unjuran pegangan pasaran 10.9%, peningkatan daripada 8.8% pegangan pasaran pada bulan sebelumnya, walaupun mencatatkan jualan lebih rendah daripada 4,802 unit pada Disember 2017.
MODEL Saga, Persona dan Exora merupakan model paling popular, merangkumi 80% daripada jumlah jualan kereta Proton untuk Januari 2018.
“Sebagai kereta dengan harga yang paling berpatutan dan memberikan nilai hebat bagi segmennya, Saga tetap menjadi pilihan paling popular di kalangan pelanggan Proton, melibatkan sebanyak 41% daripada keseluruhan jualan kereta Proton.
Sememangnya, Saga telah memperkayakan kehidupan lebih daripada 1.7 juta keluarga Malaysia sejak pengeluaran pertamanya. Ia telah menerima banyak pengiktirafan seperti anugerah ‘Value for Money Car’ pada 2016 dan ‘Compact Sedan of the Year’ pada 2017,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran, PROTON.
“Proton Saga yang terkini merupakan Saga dari generasi ketiga yang telah banyak melalui peningkatan, pembaharuan dan penambahbaikan. Ia mempunyai kabin yang lebih senyap kerana tahap bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) yang telah diperbaiki, dengan reka bentuk yang lebih bergaya, lebih praktikal, tahan lasak dan memberikan pelanggan
nilai yang lebih berbaloi untuk ciri-ciri keselamatan yang mantap, serta keselesaan di dalam kereta.
Dari harga serendah RM35,590.29, atau hanya RM390 sebulan (tanpa insurans), ianya mampu dimiliki kebanyakan rakyat Malaysia,” tambah Rashid.
Bersempena Sambutan Tahun Baru Cina, PROTON menawarkan ganjaran kepada para pelanggannya dengan diskaun-diskaun* hebat untuk semua model Proton, sehingga RM500* untuk Exora, sehingga RM1,000* untuk Saga, sehingga RM1,000* untuk Persona, sehingga RM5,000* untuk Iriz, dan sehingga RM13,888* untuk Perdana.
Para pelanggan juga boleh mengunjungi mana-mana pusat servis PROTON yang diiktiraf untuk pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma** sebelum memulakan perjalanan jauh.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi PROTON Customer Care di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di [email protected]. Pelanggan juga boleh melawat www.proton.com atau halaman Facebook rasmi kami di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi mudah alih rasmi MyProton, yang tersedia melalui Google Play dan Apple App Store.
*Tertakluk kepada terma dan syarat. Diskaun berbeza mengikut model. Promosi sah sehingga 28 Februari 2018.
**Tertakluk kepada terma dan syarat. Promosi sah sehingga 24 Februari 2018.
Mengenai PROTON
PROTON Holdings Berhad kini dimiliki oleh DRB-HICOM Berhad sebanyak 50.1% dan sebanyak 49.9% lagi oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. Ditubuhkan pada tahun 1983, ia adalah satu-satunya pengeluar kereta OEM sepenuhnya yang lengkap dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Asia Tenggara dan telah ditubuhkan dengan tiga objektif dasar kebangsaan utama iaitu untuk menerajui pembangunan industri pembuatan komponen, untuk memperoleh dan meningkatkan teknologi serta kemahiran industri dalam industri pembuatan automotif dan untuk mengukuhkan daya saing antarabangsa serta keupayaan perindustrian di Malaysia.