Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, KLIA telah menerima pertumbuhan pergerakan penumpang yang rancak.

JUMLAH pergerakan penumpang telah mencecah 50 juta semenjak dua tahun lepas lagi. Pada tahun 2017, lebih daripada 28 juta telah menggunakan Terminal Utama KLIA. Oleh itu, Malaysia Airports Berhad (MAB) sentiasa perlu memastikan kemudahan yang mencukupi bagi menjamin keselesaan pengguna awam di terminal.

Terkini, MAB telah mengumumkan bahawa pihaknya telah menggerakkan inisiatif penambahbaikan pesat di terminal. Pemindahan parkir kakitangan daripada Terminal Utama KLIA ke Parkir Jangka Panjang (LTCP) adalah salah satu contoh penambahbaikan yang dilakukan.

Pemindahan ini telah mula dijalankan pada bulan Oktober tahun lepas di mana seramai 1,000 kakitangan syarikat penerbangan dan perniagaan di KLIA telah dipindahkan.

Fasa ke 2 pula akan bermula pada bulan Mac 2018 dan rancangan ini telah dimaklumkan kepada semua kakitangan terlibat pada awal bulan Januari tempoh hari. Perpindahan fasa ke 2 ini akan menambah bilangan lot parkir di Terminal Utama KLIA sebanyak 1,800 untuk kegunaan orang ramai.

Walau bagaimanapun, MAB amat prihatin dalam menjaga kebajikan kakitangan di dalam hal ini. Bagi Fasa ke 2, seramai 3,000 kakitangan akan terlibat terdiri daripada 2,400 kakitangan Malaysia Airports dan 600 kakitangan daripada pelbagai agensi kerajaan di KLIA.

MAB telah menyediakan perkhidmatan bas shuttle ulang-alik percuma dari LTCP ke terminal yang beroperasi 24 jam sehari dengan selang masa setiap 10 minit.

Di samping itu, Jabatan Imigresen dan Kastam di KLIA juga telah menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik mereka sendiri dalam menyokong inisiatif MAB ini.

MAB amat berterima kasih di atas sokongan yang diberikan dan berharap semua pihak yang berkepentingan akan terus memberikan sokongan dalam usaha kami meningkatkan tahap perkhidmatan di KLIA dan menyediakan pengalaman ceria di lapangan terbang.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini