Pelanggan terima ganjaran bernilai RM500,000 melalui Peraduan Pos Laju Speed Gold

POS Laju, penyedia perkhidmatan kurier utama negara memberi ganjaran bernilai RM500,000 kepada 219 pelanggan bertuah melalui Peraduan Pos Laju Speed Gold. Peraduan ini telah berlangsung dari 16 Ogos 2017 hingga 30 November 2017 lalu.

Ia terbuka kepada semua pelanggan yang membeli produk Pos Laju On Demand. Mohd Syafiq Mohammad dari Shah Alam diumumkan pemenang Xtravaganza pada majlis tersebut. Lelaki berusia 33 tahun itu membawa pulang Jongkong Emas 999.9 Pos ArRahnu seberat 50 gram bernilai RM12,500 dan pakej percutian tiga hari dua malam di Ancasa Royale Pekan bernilai RM1,000.

Tiga pelanggan diumumkan sebagai pemenang Super Grand Prize, Saidatul Ijra Md Safian, Siti Rashidah Azhar dan Shazwan Afiq Saad masing-masing menerima Jongkong Emas 999.9 Pos ArRahnu seberat 30gram bernilai RM7,500 dan pakej percutian yang sama di Ancasa Royale Pekan.

Di samping itu, lima pemenang Grand Prize, Rizal Omar, Mohd Fairuz Adnan, Mohd Ghauth Zakwan Mohd Ghazali, Nur Lyana Kamarudin dan Nor Atiqa Zabidi, masing-masing membawa pulang Jongkong Emas 999.9 Pos ArRahnu seberat 10gram bernilai RM5,000.

Acara itu turut menyaksikan kehadiran pemenang bulanan untuk November 2017 dari Lembah Klang menerima hadiah mereka berbentuk Jongkong Emas 999.9 Pos ArRahnu seberat 1gram bernilai RM250.

Kesemua 219 pemenang hadiah utama dan bulanan juga menerima perlindungan insurans hayat 1-tahun bernilai RM5,000.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Dato’ Azlan Shahrim berkata, peraduan Pos Laju Speed Gold dianjurkan sebagai tanda penghargaan dan skim ganjaran untuk pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Pos Laju.

“Kami berterima kasih kepada para pelanggan kami yang telah menunjukkan sokongan dan kepercayaan yang tinggi kepada Pos Laju sebagai kurier pilihan mereka selama ini,” katanya.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, Pos Laju telah memperkenalkan pelbagai cara moden dan inovatif untuk pelanggan menghantar dan menerima bungkusan. Salahsatu contoh adalah Pos Laju EziBox yang membolehkan para pelanggan untuk mengambil bungkusan mereka pada bila-bila masa.

Dato’ Azlan berkata “perkhidmatan itu juga direka sebagai cara alternatif untuk pelanggan mendapatkan bungkusan sekiranya mereka terlepas penghantaran di rumah. Perkhidmatan loker bungkusan ini tersedia sepanjang masa dan boleh didapati di stesen-stesen petrol dan LRT terpilih.

Tidak lama lagi, pelanggan jugaboleh memilih Pos Laju EziBox sebagai alamat penghantaran barangan mereka apabila mereka berbelanja dalam talian.

“Sementara itu, para pelanggan yang sibuk dan sedang bergegas dapat menghantar barang mereka tanpa perlu keluar dari kenderaan di mana-mana 13 stesen Pos Laju EziDrive-Thru kami.

“Sebagai langkah alternatif, pelanggan boleh menggunakan Pos Laju Kiosk memandangkan ia menawarkan waktu operasi yang lebih lama daripada Pusat Pos Laju serta terletak secara strategik di pusat membeli-belah. Kiosk ini dibuka pada hujung minggu.

“Akhir sekali, Pos Laju EziDrop membolehkan para pelanggan menghantar bungkusan mereka menerusi mesin layan diri automatik. Pelanggan kini boleh menghantar bungkusan prabayar tanpa perlu beratur dan ini juga dapat mengurangkan kesesakan di Pejabat Pos atau Pusat Pos Laju.

“Semua ini merupakan tambahan kepada rangkaian meluas yang terdiri daripada 700 pejabat pos dan 90 Pusat Pos Laju di seluruh negara,” katanya.

Dato’ Azlan berkata, pihak sentiasa berusaha meningkatkan capaiannya dengan lebih 1,000 touchpoint di seluruh negara bagi memenuhi tuntutan industri e-Dagang yang berkembang pesat.

“Kami akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memberikan perkhidmatan e-Dagang yang lebih baik kepada pelanggan di mana mereka boleh mendapatkan akses yang cepat, fleksibel dan percuma yang lebih dekat dengan rumah atau pejabat mereka,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini