Kerjasama dengan CARE4ALL dan Alumni Teach for Malaysia (TFMA) dalam memperbaiki infrastruktur jambatan dan menambahbaik sekolah di Miri, Sarawak.
MALAYSIA Airports bersama sekumpulan pelajar dari Universiti Malaya (UM) seramai 15 orang dan 2 orang fellow serta Alumni Teach For Malaysia (TFMA) telah mengambil inisiatif untuk membantu penduduk dan pelajar di Rumah Mayung, Miri, Sarawak dan kawasan sekelilingnya menerusi satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Malaysia Airports iaitu Airports @ Community di Miri.
Program ini berjalan serentak dengan program yang dijalankan oleh pelajar Universiti Malaya iaitu Care4All@Sibuti. Program CSR yang telah dirancang kemas sejak akhir tahun 2017 ini bertujuan untuk membangunkan nilai sosial, pendidikan dan kesihatan komuniti di kawasan pedalaman Sarawak.
Program yang dijalankan selama empat hari yang bermula pada 15 Januari sehinga 19 Januari 2018 dapat memberi manfaat kepada hampir 480 penduduk dari dua rumah panjang iaitu Rumah Muyang dan Rumah Senju. Ianya merupakan sebuah inisiatif Malaysia Airports di bawah rangka tanggungjawab sosial korporatnya iaitu mewujudkan penglibatan antara pelajar universiti, masyarakat dan korporat.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali berkata, dalam rangka program tanggungjawab sosial Malaysia Airports, kami sentiasa peka dengan keperluan masyarakat. Bersempena pembukaan semula persekolahan, kami ingin menjadi sebahagian pihak dalam membantu pelajar luar bandar, khususnya pelajar di SK Sg Manong ini untuk memudahkan mereka untuk pergi ke sekolah setiap hari. Kami percaya bahawa mereka merupakan modal insan yang berharga demi masa depan negara kelak.
Di antara aktiviti yang terkandung dalam program ini adalah kerja-kerja pembaikan jambatan Sg Manong yang menghubungkan SK Sg Manong dan Rumah Muyang. Melalui pembaikan jambatan ini, ianya dilihat dapat meningkatkan mutu kehidupan komuniti rumah panjang di sini, seterusnya memudahkan pergerakan para pelajar ke sekolah. Di antara aktiviti lain yang dijalankan adalah kerja-kerja mengecat sekolah di SK Sg Manong bertujuan mewujudkan suasana persekitaran yang lebih kondusif dan ceria.
“Jambatan Sg Manong merupakan sebuah medium penghubung utama kepada para pelajar yang mendiami Rumah Muyang dan Rumah Senju untuk ke sekolah. Dengan penambahbaikan jambatan ini, diharapkan objektif program CSR untuk meningkatkan kualiti tahap pendidikan mereka dan menggalakkan mereka untuk ke sekolah dapat direalisasikan. Menerusi kewujudan program CSR seperti ini, ianya dapat mengeratkan lagi hubungan kami di Malaysia Airports dengan masyarakat sekeliling terutamanya yang berada di sekitar lapangan terbang kami beroperasi,” kata Badlisham lagi.
Penyerahan cek sumbangan sebanyak RM20,000 oleh Malaysia Airports disampaikan oleh Ketua Pegawai Strategi Malaysia Airports, Azli Mohamed kepada JKKK Rumah Mayung dan PIBG SK Sg Manong bertujuan memperbaiki Jambatan Sg Manong dan mengecat SK Sg Manong di dalam majlis penutup yang sama.