Barisan kenderaan hibrid berjaya melonjakkan jualan kenderaan BMW sepanjang tahun lalu menerusi wakil pengedar BMW, Ingress Auto di Puchong dan Damansara.

INGRESS Auto, wakil pengedar kenderaan BMW milik Bumiputera sepenuhnya di negara ini merekodkan jualan keseluruhan sebanyak 1,505 unit pelbagai model BMW sepanjang tahun 2017 yang didorong menerusi pengenalan model BMW jenis hibrid.

Anak syarikat milik Ingress Corporation Berhad itu ketika ini memiliki dua cawangan pengedar kenderaan BMW iaitu di Puchong dan Damansara. Syarikat itu turut menjadi pengedar bagi model kenderaan MINI.

Ketua Jualan Ingress Auto Puchong, Zaidi Hazral Abdul Hadi berkata, pada tahun lalu cawangan Puchong mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 311 unit termasuk 128 unit menerusi model hibrid iaitu BMW 330e (58 unit) dan BMW X5 plug in Hybrid (70 unit).

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan jualan keseluruhan akan meningkat kepada 320 unit pada tahun ini disumbangkan oleh jualan model terbaru BMW 530e Sport yang pertama kali dilengkapi ciri hibrid dengan teknologi eDrive.

“Kebanyakan pelanggan yang datang membeli kenderaan BMW jenis hibrid ini bukan sahaja tertarik dengan ciri teknologi terkini, penjimatan bahan api malah prestasi yang ditawarkan pada harga yang menarik,” katanya ketika ditemui pada  majlis prebiu model terbaru BMW 530e yang dilancarkan di cawangan Ingress Auto Puchong, hari ini.

Ingress Auto mengadakan majlis prebiu dan penerangan teknikal kepada kira-kira 200 pelanggan sepanjang kempen pengenalan model itu yang bermula hari ini sehingga Ahad ini. Kempen yang sama turut diadakan di cawangan Damansara. Pengunjung juga berpeluang memandu uji model terbaru itu di cawangan Ingress Auto sepanjang kempen itu diadakan.

Model BMW 530e hanya ditawarkan dengan varian tunggal Sport Line, berharga RM343,800 atas jalan tanpa insurans. Ia adalah RM50,000 lebih murah berbanding 530i (RM389k), yang turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa terhad serta penyelenggaran berjadual percuma lima-tahun dan waranti dua-tahun bagi tayar.

530e ini dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter petrol pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 184 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 290 Nm dari 1,350 hingga 4,250 rpm. Ia dipadankan dengan motor elektrik 113 hp/250 Nm yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 252 hp dan tork 420 Nm – hampir menyamai kuasa 530i tetapi dengan dan peningkatan tork sebanyak 70 Nm berbanding varian petrol tersebut.

Ingress Auto di Puchong dan Damansara dilengkapi ciri 4S iaitu jualan, servis, alat ganti dan baik pulih badan kenderaan.

Ditanya mengenai perancangan tahun ini, Zaidi berkata, pihaknya sedang mencari tanah seluas 1 ekar sekitar Puchong bagi tujuan membuka pusat baik pulih badan kenderaan akibat kemalangan bagi menampung permintaan daripada pelanggan BMW.

Ketika ini model BMW 530e ini ditawarkan dengan lima pilihan warna luaran iaitu Bluestone Metallic, Mediterranean Blue, Alpine White, Glacier Silver dan Black Sapphire. Warna ruang dalaman pula ialah black dan cognac.

Seperti mana model BMW iPerformance yang terdapat di Malaysia seperti 330e M Sport, X5 xDrive 40e, 740Le, pembelian 530e Sport juga membolehkan pelanggan menerima akses percuma tanpa had sepanjang tahun untuk servis mobiliti ChargeNow menerusi platform ChargEV. Tawaran menarik ini juga didatangkan dengan BMW i AC Fast Charging Cable secara percuma.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini