Persimpangan Bertingkat Elmina kini dibuka, meningkatkan ketersambungan ke perbandaran City of Elmina
PERSIMPANGAN bertingkat Elmina dilancarkan semalam, menyediakan akses mudah dan meningkatkan ketersambungan ke perbandaran tersebut dan lokasi sekitar bagi para penduduk City of Elmina serta pengguna Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).
Persimpangan bertingkat Elmina dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada jam 10 malam tadi. Pembukaan persimpangan tersebut dapat direalisasikan setelah pembangunan infrastruktur jalanraya di City of Elmina siap, melibatkan pelaburan
sejumlah RM66 juta oleh Sime Darby Property.
Pelancaran persimpangan bertingkat itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh, disaksikan oleh Setiausaha Pembangunan dan Penswastaan Kementerian Kerja Raya Dato’ Embok Masek Md Taher, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas Dato’ Mohammad Azlan Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property Dato’ Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri.

Persimpangan bertingkat Elmina, terletak di susur keluar 3504 GCCE, telah dibina oleh Prolintas dan siap sejak lebuhraya itu dibuka kepada orang ramai. Sime Darby Property telah membina jalanraya baharu yang menghubungkan perbandaran Denai Alam dan Bukit Subang ke Elmina West di City of Elmina, menuju ke persimpangan bertingkat Elmina dan seterusnya ke GCE, dengan kos kira-kira RM22 juta.
Pemaju hartanah itu juga telah melaburkan RM44 juta bagi pembinaan jalanraya menghubungkan Subang Bestari ke GCE melalui perbandaran Elmina East.
Wan Hashimi Albakri berkata, “Ketersambungan penuh adalah ciri utama di semua pembangunan Sime Darby Property dan merupakan kelebihan perbandaran-perbandaran kami, di samping ciri kelestarian dan kedudukan strategik. Ia berfungsi sebagai pemangkin bagi pertumbuhan perbandaran dan komuniti kami, serta meningkatkan tawaran nilai.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Prolintas atas usaha meningkatkan ketersambungan City of Elmina melalui Persimpangan Bertingkat Elmina. Kami juga bangga kerana dapat menyumbang kepada usaha tersebut melalui penyiapan rangkaian jalanraya di perbandaran kami.”
Di samping meningkatkan akses ke City of Elmina, persimpangan itu juga dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di perbandaran Denai Alam dan Bukit Subang pada waktu puncak melalui penyebaran lalu lintas yang lebih baik.
Persimpangan bertingkat itu juga menghubungkan perbandaran Denai Alam, Bukit Subang, Elmina West dan Elmina East, membolehkan akses mudah dan pantas kepada penduduk untuk menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di setiap perbandaran yang berbeza.

City of Elmina adalah pembangunan perbandaran bertema seluas 5,000 ekar oleh Sime Darby Property dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sejumlah RM27 bilion, merangkumi perbandaran Denai Alam, Bukit Subang, Elmina East dan Elmina West.
Ciri-ciri utama City of Elmina termasuk Elmina Central Park seluas 300 ekar dan laluan berbasikal dan larian sepanjang 90 kilometer; antara yang terpanjang di negara ini. Terletak bersebelahan GCE, City of Elmina menawarkan ketersambungan dan aksesibiliti yang lancar.
Produk-produk hartanah yang bakal dilancarkan bagi tahun 2018 di City of Elmina termasuk kediaman dua tingkat dan unit kediaman semi-D di Denai Alam dan fasa kedua kediaman dua tingkat Elmina Green di Elmina West.
Perkembangan perihal aktiviti dan pembangunan Sime Darby Property boleh didapati melalui simedarbyproperty.com, Facebook (facebook.com/SimeDarbyProperty), Instagram (instagram.com/SimeDarbyProperty) dan Aplikasi Mudah Alih Sime Darby Property (boleh didapati di App Store dan Google Play).






































